Jadikan pentadbiran kehakiman perkhidmatan perlu jika PKP dilanjut, kata peguam

Jadikan pentadbiran kehakiman perkhidmatan perlu jika PKP dilanjut, kata peguam

Langkah itu akan membolehkan peguam, litigan dan saksi hadir ke mahkamah tanpa halangan.

Perbicaraan dan rayuan jenayah dan sivil kini ditangguhkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac.
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan memohon supaya pentadbiran kehakiman disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan lebih lama dari 28 April.

T Gunaseelan berkata, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh boleh menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, meminta beliau supaya membawa perkara itu kepada Kabinet atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Terrirudin harus berunding dengan ketua hakim negara, tetapi kerajaan harus mewartakan pentadbiran kehakiman bagi membolehkan peguam, litigan dan saksi hadir ke mahkamah tanpa halangan,” tambahnya.

Perbicaraan dan rayuan jenayah dan sivil ditangguhkan sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac. Hanya perkara mendesak seperti prosiding reman dan jaminan, perbicaraan individu yang melanggar PKP, dan pengurusan kes menerusi e-semakan dibenar diteruskan.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli berkata, mahkamah harus dibenarkan berfungsi dalam kes yang memerlukan kehadiran fizikal pihak yang bertikaian.

“Sama ada kes jenayah atau sivil, mereka memerlukan akses kepada keadilan,” katanya.

Ini terutama kes melibatkan prosiding jenayah yang memerlukan rayuan didengar dengan segera kerana kebebasan mereka yang ditahan di penjara harus dipertimbangkan, tambahnya.

Katanya, kes kemalangan dan prosiding mungkir kontrak juga harus diselesaikan dengan segera kerana ia melibatkan ganti rugi dan kos.

“Namun, saya sedar mahkamah harus beroperasi dengan mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Beliau turut memuji badan kehakiman yang mengambil inisiatif meneruskan prosiding, terutama untuk kes sivil, meskipun PKP sedang berkuatkuasa.

Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) berkata, ia tidak keberatan peguam di negeri itu menjalankan kes melalui sidang video dengan syarat semua pihak bersetuju..

Presiden AAS Ranbir Singh Sangha berkata, peguam boleh menjalankan prosiding dari kediaman mereka jika mempunyai peralatan untuk melakukannya.

“Kami juga terbuka dengan cadangan agar proses seperti itu dilakukan dari firma guaman kami setelah PKP ditarik balik,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini katanya, peguam di Sarawak sudah menggunakan sidang video untuk menjalankan perbicaraan dan rayuan bagi kes sivil dan jenayah.

“Ini menjimatkan masa, wang dan sumber peguam, litigan dan mahkamah kerana Sarawak merupakan negeri yang besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.