
Penularan Covid-19 sememangnya semakin membimbangkan apabila angka mereka disahkan positif di seluruh dunia ketika ini hampir mencecah 2.6 juta orang dengan lebih 170,000 kematian dicatatkan.
Sehubungan itu bagi memutuskan rantaian penularan virus tersebut, penjarakkan sosial dan perintah berkurung terpaksa dilakukan di semua negara yang berdepan dengan wabak ini.
Selain itu, pesakit yang dijangkiti Covid-19 juga sukar dirawat ketika ini kerana masih tiada vaksin tepat yang berjaya ditemui.
Baru-baru ini dilaporkan terdapat 2 doktor warga China yang dijangkiti Covid-19 sejak Februari lalu berjaya pulih daripada virus tersebut.
Difahamkan, mereka berdua antara doktor terawal yang dijangkiti virus tersebut ketika merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Wuhan sejak Januari lalu.
Bagaimanapun menurut laporan Metro.co.uk, keadaan mereka dikatakan sangat serius apabila mereka terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Namun, perkara itu menjadi sesuatu yang tidak asing lagi bagi petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab memerangi virus tersebut kerana sering terdedah dengannya.

Tetapi disebabkan kedua-dua doktor ini dirawat dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam jangka masa yang lama iaitu 39 hari, sudah semestinya banyak perkara yang mereka sudah terlepas, lebih-lebih lagi mengenai perkembangan terbaru berkenaan virus tersebut.
Kedua-dua doktor yang masing-masing berusia 42 tahun itu yang sedar selepas pulih terkejut apabila melihat perubahan warna kulit yang dialami.
Difahamkan, perubahan kulit yang terjadi pada kedua-dua doktor tersebut berpunca daripada penggunaan alat bantuan pernafasan yang diterima oleh mereka berdua dan juga kesan sampingan daripada sejenis ubat yang diberikan semasa peringkat awal rawatan sejak 18 Januari yang lalu di Hospital Pulmonari Wuhan.
Bagaimanapun, perubahan warna kulit itu juga dipercayai berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang terjadi akibat kerosakkan hati ketika diserang virus tersebut.
Dr Yi dan Dr Hu kedua-dua yang pulih juga dikatakan pernah bekerjasama dengan Dr Li Wenliang yang maut akibat Covid-19 pada 7 Februari lalu sehingga mencetuskan kesedihan dan kemarahan orang ramai terhadap krisis yang berlaku sehingga kini.
Kedua-dua mereka kini dikatakan sedang menerima rawatan sokongan kesihatan mental akibat pengalaman trauma yang dialami.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]