
Beliau berkata, peniaga makanan dan semua hotel, restoran serta premis makanan segera dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan bawa pulang mulai 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan puasa.
“Peniaga makanan dan pelanggan wajib mematuhi peraturan memakai topeng, mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan baik,” katanya pada sidang media hari ini.
Tetapi, Karim berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak tidak membenarkan bazar Ramadan, gerai dan trak makanan beroperasi ketika bulan Ramadan untuk membendung penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat.
Katanya, rakyat khasnya umat Islam perlu terus berada di rumah dan hanya keluar membeli makanan untuk berbuka puasa atau sahur.
Bulan Ramadan dijangka bermula 24 April ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, satu lagi kematian Covid-19 dicatatkan di negeri itu membabitkan seorang wanita Iban berusia 72 tahun dari Lingga, Sri Aman.
Katanya, wanita itu yang menghidap penyakit darah tinggi dan kanser, dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 20 April.
Beliau berkata, pesakit itu yang tiada sejarah kontak dengan mana-mana kes positif, disahkan positif Covid-19 pada 22 April lalu dan meninggal dunia di hospital pada 9.15 pagi tadi.
Setakat ini, 16 pesakit meninggal dunia akibat virus itu di Sarawak.
“Sementara itu, kita mempunyai 19 kes positif hari ini dan 155 pesakit dalam siasatan (PUI), dengan 136 orang masih menunggu keputusan ujian makmal mereka,” katanya sambil menambah 105 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa kerja sudah ditubuhkan untuk menghubungi kira-kira 2,500 orang yang mempunyai kontak rapat atau kasual dengan kes positif bagi menjalani ujian saringan.
Katanya, ia berjaya menghubungi 207 orang dan 82 daripadanya bersetuju menjalani ujian saringan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), manakala 11 lagi sudah membuat temu janji untuk ujian saringan di Kompleks Belia dan Sukan di Kuching.