Ritual, adat kahwin pasangan Hindu tidak boleh dibuat secara sidang video, kata Hindu Sangam

Ritual, adat kahwin pasangan Hindu tidak boleh dibuat secara sidang video, kata Hindu Sangam

Pada 18 April, Jawi pertama kali menjalankan majlis akad nikah sepasang pengantin Islam secara sidang video.

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata, terdapat ritual dan adat perkahwinan dalam agama Hindu yang mesti dibuat secara bersemuka.
PETALING JAYA:
Tidak semua perkara boleh dilakukan secara sidang video, termasuklah ritual dan adat perkahwinan bagi penganut agama Hindu, kata presiden Hindu Sangam Malaysia RS Mohan Shan.

Mohan berkata, berbeza dengan agama Islam yang membenarkan pernikahan secara sidang video, penganut agama Hindu sebaliknya masih perlu menjalani adat dan ritual wajib perkahwinan yang mesti dilakukan secara bersemuka.

“Memang pendaftaran perkahwinan bagi penganut agama Hindu mesti dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ini merupakan satu kewajipan. Kalau setakat mendaftar di JPN ia boleh dilakukan secara atas talian.

“Tetapi kalau kalau ikut adat resam serta prinsip agama Hindu, ada perkara yang tidak boleh dibuat secara atas talian. Walaupun pendaftaran perkahwinan diiktiraf di JPN, tetapi selagi ia tidak mengikut adat agama Hindu, perkahwinan itu tidak diterima sebagai perkahwinan rasmi,” katanya kepada FMT.

RS Mohan Shan

Menurutnya, beberapa ritual seperti pengantin lelaki mengikat benang kuning pada pengantin perempuan, upacara memuja tuhan, mengelilingi api sebanyak 7 kali (saat fere) dan memohon restu daripada kedua-dua ibu bapa bagi pasangan pengantin perlu dilakukan secara langsung.

“Setiap upacara dan ritual yang dilakukan ada makna tersirat yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, setiausaha agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Herman Shastri, sebagai pemimpin bagi penganut agama Kristian berkata, setakat ini tidak ada arahan untuk menjalankan perkahwinan secara atas talian.

Herman Shastri

“Tiada. Tidak ada arahan untuk gereja mengadakan upacara perkahwinan secara atas talian, tetapi pasangan bagaimanapun digalakkan untuk membuat pendaftaran secara sivil.

“Upacara perkahwinan boleh dianjurkan bersama keluarga dan saudara, tetapi mestilah dengan kawalan penjarakan sosial yang ketat.

“Bagaimanapun kebanyakan pasangan menunda upacara perkahwinan di gereja sehingga keadaan menjadi lebih baik,” katanya merujuk kepada langkah Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak Covid-19.

Terdahulu, pengarahnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya terus menerima banyak permohonan untuk menjalankan majlis akad nikah secara sidang video.

Pada 18 April, buat julung kalinya Jawi melaksanakan majlis akad nikah bagi sepasang pengantin secara sidang video.

Mohd Ajib berkata, langkah itu selari dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-97 pada 15 hingga 17 Disember 2011 yang mengharuskan acara akad nikah menerusi sidang video dengan syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun katanya, urusan lain seperti permohonan kebenaran berkahwin untuk pasangan yang belum lagi mendapat kebenaran berkahwin, pendaftaran nikah, cerai, rujuk, dan kursus praperkahwinan ditangguhkan sehingga tempoh PKP tamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.