PKP: Pelajar rasionalkan diri selepas sebulan terkandas di universiti

PKP: Pelajar rasionalkan diri selepas sebulan terkandas di universiti

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada jaminan PKP akan ditamatkan pada 28 April ini.

Lebih 80,000 pelajar kini terkandas di kampus universiti dan rumah sewa masing-masing berikutan keputusan Putrajaya tidak membenarkan mereka balik dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sudah masuk hari ke-35 sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Keadaan yang tidak dijangka ini bukan sesuatu yang mudah bagi kira-kira 80,000 pelajar yang terkandas di kolej kediaman dan rumah sewa masing-masing.

Ini berikutan keputusan Putrajaya tidak membenarkan mereka pulang ke kampung halaman sehingga menyebakan ramai pelajar mengakui tertekan kerana “dikurung” di dalam kampus masing-masing.

Menjelang kedatangan bulan Ramadan ini timbul pula keraguan dan kegusaran sekiranya situasi tersebut berlanjutan sehingga sambutan Aidilfitri.

Bercakap kepada FMT, exco perhubungan awam dan advokasi Kesatuan Pelajar UIAM, Muhammad Amin Mubarak berkata, rakan pelajar di kampus sudah tidak tertanggung rasa rindu kepada rumah dan keluarga.

Beliau berkata, mahasiswa yang terkandas meluahkan rasa rindu masing-masing dengan menghubungi keluarga secara lebih kerap sejak PKP berjalan menerusi panggilan video melalui aplikasi Whatsapp dan Skype.

Emosi mereka juga dikhuatiri terganggu berikutan suasana sambutan puasa kali ini jelas tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, 3,000 pelajar yang terkandas di universiti itu juga menerima keadaan bahawa mereka perlu berada di kampus dan bersikap rasional terhadapnya.

“Kekal divsini juga adalah satu pengorbanan dan tanggungjawab kepada negara,” katanya sambil menambah pihak universiti turut menyediakan pasukan khidmat kaunseling sepanjang PKP bagi mahasiswa yang memerlukan sokongan emosi.

Namun, bagi pelajar tahun pertama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Baihaqi berkata, rasa risau lebih menguasai rindu apabila ibu bapanya merupakan petugas barisan hadapan.

“Kalau saya dibenarkan balik, saya boleh ambil tugas menjaga adik-adik di rumah.

“Ibu ayah juga tidak perlu risau dan boleh jauhkan diri dari ahli keluarga lain selepas pulang dari tempat kerja,” katanya sambil menambah beliau mengenali ramai pelajar yang memiliki ibu bapa sebagai petugas barisan hadapan dan berkongsi rasa yang sama dengannya.

Muhammad Luthfi Mohd Yusri.

Sementara itu, aktivis pelajar dari Universiti Malaya (UM) Muhammad Luthfi Mohd Yusri berkata, kebanyakan pelajar yang terkandas benar-benar ingin pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, memandangkan sesi kuliah dan tugasan boleh dijalankan secara atas talian, jadi ia boleh dibuat di rumah.

“Sebulan terperuk dalam bilik dan tidak bercakap dengan orang lain adalah pengalaman yang ‘luar biasa’. Kencederungan untuk buat ‘benda-benda pelik’ tu ada,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mengulas lanjut, Luhtfi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilihat tidak memperlihatkan polisi dan langkah jelas melibatkan hal ehwal pelajar di bawah PKP.

“Apabila lawat halaman rasmi Facebook KPT, mereka hanya kongsikan kenyataan-kenyataan MTN sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pelajar di UM membuat inisiatif sendiri bagi membantu menyiapkan proposal pembelajaran atas talian, cadangan membawa pulang pelajar sekiranya PKP dilanjutkan dan program yang bersesuaian yang boleh dilakukan dalam tempoh tersebut.

“Kita nak pastikan, no one left behind (tiada sesiapa yang ketinggalan)”

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada jaminan PKP yang mula berkuat kuasa pada 18 Mac akan ditamatkan pada 28 April ini, dan belum ada sebarang keputusan ia akan disambung atau tidak.

“Sebelum tamatkan, kena tengok kes aktif iaitu jangkitan kes tersebut, kalau kita boleh kawal, kita boleh pertimbangkan tamat PKP,” katanya pada sidang media harian mengenai wabak Covid-19 di Putrajaya.

Terdahulu minggu lepas, kerajaan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji kesan langkah menghantar pulang 80,000 pelajar yang kini terperangkap di kampus universiti masing-masing berikutan pelaksanaan PKP.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia melibatkan pergerakan manusia yang sangat besar jumlahnya.

“Jadi telah dibentang cadangannya, tetapi oleh kerana jumlah begitu besar, ada sebahagian yang pulang Sabah dan Sarawak akan dikuarantin wajib di sana dan sebagainya.

Sebelum itu KPT berkata, ia akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing susulan pengumuman lanjutan tempoh PKP.

Menterinya, Noraini Ahmad berkata, KPT kini meneruskan perbincangan dengan pihak terbabit dan sedang meneliti kaedah terbaik untuk tujuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.