Pengusaha bas rayu bantuan Putrajaya

Pengusaha bas rayu bantuan Putrajaya

Di bawah PKP, perjalanan dihadkan untuk orang awam dan hampir tidak ada penumpang yang menaiki bas.

Seorang pengguna menunggu bas di Stesen Terminal One di Seremban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan pengusaha bas terbesar di negara ini merayu bantuan Putrajaya, mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ahlinya terjejas teruk.

“Di bawah PKP Covid-19, industri bas dikategorikan sebagai perkhidmatan penting. Oleh itu, ahli kami harus terus memberikan perkhidmatan bas kepada orang ramai,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali.

“Bagaimanapun di bawah PKP, perjalanan dihadkan untuk orang awam dan hampir tidak ada penumpang yang menaiki bas kami.”

Beliau berkata perkara ini menyebabkan ahlinya kehilangan pendapatan namun mereka masih perlu membayar gaji, diesel dan penyelenggaraan.

Walaupun PKP ditarik balik, Ashfar berkata orang ramai mungkin tidak akan menggunakan pengangkutan awam, keadaan yang mungkin berterusan hingga setahun.

Beliau menambah pengusaha bas memerlukan bantuan untuk terus bertahan dan memastikan kelangsungan perkhidmatan itu kepada orang ramai.

Beliau bercakap mengenai pemberian peruntukan secara langsung dan tanpa syarat di bawah Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti (ISBSF) dan Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti untuk membantu meringankan masalah aliran tunai.

Katanya, pengusaha juga perlu mendapat moratorium bayaran semula pinjaman yang tidak terpakai kepada peminjam korporat atau pinjaman dan kemudahan sewa beli daripada syarikat kredit.

“Kami ingin meminta supaya bayaran balik pinjaman dan sewa beli ditangguhkan untuk semua pengusaha bas selama 6 bulan mulai 1 April,” katanya.

“Ahli kami memberitahu bahawa syarikat kredit tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk moratorium 6 bulan dan menggesa pembayaran balik kerana mereka berkata mereka tidak berada di bawah pemantauan Bank Negara.”

Ashfar juga menggesa Putrajaya memberikan subsidi menyeluruh berjumlah 75% daripada gaji bulanan pemandu bas, yang kebanyakannya memperoleh pendapatan lebih RM2,000.

Di bawah program subsidi gaji, syarikat dengan 75 pekerja dan ke bawah layak menerima RM1,200 sebulan untuk setiap pekerja sementara syarikat dengan 76-200 pekerja boleh menerima RM800. Syarikat dengan lebih daripada 200 pekerja boleh menerima RM600 sebulan untuk setiap pekerja.

Namun Ashfar berkata segelintir pengendali mempunyai lebih 76 dan 200 kakitangan, yang bermakna subsidi gaji yang diberikan kepada syarikat itu tidak dapat menampung bil gaji bulanan.

“Kaedah ini sedang dipraktikkan di UK dan Singapura,” tambahnya.

Cadangan lain yang dikemukakan kepada kerajaan termasuk pengecualian sumbangan majikan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Skim Keselamatan Sosial dan Skim Insurans Pekerja, subsidi untuk meneruskan semula perkhidmatan dan faedah penepian premium insurans semasa dan selepas PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.