2 dalang seludup etnik Rohingya, warga asing ditahan

2 dalang seludup etnik Rohingya, warga asing ditahan

Kedua-dua suspek yang merupakan warga Myanmar disiasat di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pada 5 April lebih 200 pendatang tanpa izin etnik Rohingya ditahan di perairan Langkawi kerana memasuki negara ini secara haram. (Gambar MMEA)
ALOR SETAR:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 2 lelaki warga Myanmar yang disyaki menjadi dalang dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya ke negara ini.

Timbalan pengarah operasi APMM Kedah dan Perlis, Zulinda Ramly berkata, mereka ditahan dalam satu operasi yang dilaksanakan agensi itu susulan maklumat yang diperolehi daripada 202 pendatang tanpa izin etnik Rohingya yang ditahan di perairan Langkawi pada 5 April lepas.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 36 tahun di sebuah rumah teres di Simpang Empat, di sini pada 16 April lepas dan tangkapan ke-2 pula dilakukan 2 hari kemudian melibatkan suspek berusia 31 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Guar Chempedak, Yan.

“Siasatan awal mendapati suspek pertama merupakan adik ipar kepada dalang utama yang masih dikesan dan dipercayai aktif melakukan kegiatan penyeludupan pendatang asing ke negara ini sebelum ini.

“Penggeledahan rumah didiami suspek pertama menemukan satu buku catatan yang merekodkan pembayaran kepada ejen yang seterusnya membawa kepada tangkapan suspek kedua,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Zulinda berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 26A, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Katanya APMM juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang merupakan dalang utama mengatur kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini melalui perairan terutama ke Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

“Setiap pendatang asing perlu membayar tidak kurang RM15,000 seorang kepada ejen dan modus operandi mereka ialah dengan membawa warga asing menggunakan bot besar di perairan Myanmar sebelum menukar kepada bot kecil apabila melepasi sempadan perairan negara ini,” katanya.

Zulinda berkata, APMM akan terus memburu anggota sindiket terbabit termasuk tekong darat yang disyaki bersekongkol dengan tekong laut dalam membawa pendatang tanpa izin ke negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.