
Beliau berkata tujuan sanitasi dilakukan di pasar berkenaan adalah bagi memastikan peniaga, pemborong mahupun pelanggan tidak dijangkiti Covid-19 sewaktu melakukan urus niaga di situ.
“Tujuan penutupan tersebut bukan selama 14 hari sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tetapi kita hanya menutup selama 4 hari supaya proses sanitasi boleh dilaksanakan di sana,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan peniaga dan pemborong di pasar borong itu tidak dijangkiti wabak Covid-19.
Ditanya mengenai kegusaran masyarakat berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan barang basah di pasaran berikutan penutupan pasar borong itu, Ismail berkata perkara itu tidak berlaku kerana orang ramai masih boleh mendapatkan bekalan barang basah dari pasar berhampiran yang masih beroperasi.
Sementara itu, Ismail berkata pengamal media perlu mengikuti nasihat dan saranan KKM sewaktu membuat liputan di kawasan PKPD bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin.
“Bagaimanapun, saya akan bincang dengan pihak polis kalau berada di tepi kawat besi dianggap selamat, dan juga kalau KKM kata perlu berada 300m, maka perlulah berada 300m. Kita semua sayang kepada pengamal media,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas keluhan petugas media yang membuat liputan di kawasan PKPD, yang perlu berada dalam jarak 200 hingga 300m dari kawasan berkenaan.
Kepada soalan berhubung dakwaan pekerja yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji oleh majikan selama 6 bulan, Ismail berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melihat akta yang berkaitan dengan perkara itu.
Dalam pada itu, beliau menyeru penganjur bazar Ramadan memulangkan bayaran deposit kepada peniaga memandangkan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun ini.
Mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dilaporkan akan mengembalikan deposit yang dibayar peniaga bazar Ramadan di ibu negara, Ismail turut menyeru penganjur bazar lain untuk mengikut langkah sama.
Berhubung soal semakan Bantuan Prihatin Nasional oleh golongan orang kurang upaya, beliau menyarankan mereka atau waris untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat atau merujuk kepada pemimpin komuniti seperti ketua kampung di kawasan masing-masing bagi tujuan itu.