Kumpulan ‘Dancing Coffin’ kini selebriti terkenal di Ghana

Kumpulan ‘Dancing Coffin’ kini selebriti terkenal di Ghana

Sebelum ini ‘Dancing Coffin’ menerima undangan untuk majlis pengebumian sekitar 5-6 seminggu, namun angka kini meningkat selepas mereka terkenal.

‘Dancing Coffin’ terima undangan untuk majlis pengebumian sekitar 5-6 kali seminggu, namun angka meningkat selepas mereka terkenal. (Gambar Instagram)

Tuah video lama yang kembali viral sebagai meme, mengubah nasib sebuah kumpulan pembawa keranda di Ghana yang juga dikenali sebagai “Dancing Coffin”.

Malah menurut pemilik kumpulan pembawa keranda itu, Benjamin mereka kini menerima permintaan yang tinggi sehingga mendapat permintaan dari luar negara.

Pengasas Nana Otafrija Pallbearing & Waiting Services, Benjamin Aidoo berkata demikian ketika dijemput stesen televisyen TV3 Ghana untuk satu segmen temubual bersama pengacara Giovani Elolo Caleb.

Giovani berkata kumpulan milik Benjamin ini kini boleh dianggap sebagai “selebriti” yang mengharumkan nama Ghana di seluruh dunia.

Bagi Giovani, video berkenaan sedikit sebanyak menghiburkan semua orang di kala dunia dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Benjamin dalam temu bual itu lagi, syarikatnya menerima undangan untuk majlis pengebumian sekitar 5-6 majlis seminggu.

Namun, angka berkenaan kini meningkat selepas mereka terkenal.

“Ya permintaan kami meningkat dan kami cuba untuk penuhkan semua undangan. Sebenarnya menari di majlis kematian itu ‘optional’ dan kami mengikut permintaan keluarga si mati. Jika mahu upacara yang normal, kami tidak menari. Jika mahu menari, kami akan menari,” kata Benjamin.

Apabila ditanya sama ada cas perkhidmatan mereka meningkat selepas mereka viral, Benjamin berkata harga mereka tetap sama tetapi harga akan berubah sekiranya ada permintaan tambahan seperti jenis kostum yang perlu dipakai, jenis tarian dan banyak lagi.

“Setiap pengebumian kami, ada ‘black and white’ dan kami terima bayaran setakat yang dipersetujui sahaja.

Bayaran minima tidak lebih RM1,200 tetapi bergantung kepada permintaan pelanggan jika mahu kelainan. (Gambar Instagram)

“Harga kami bermula RM1,157.20 sehingga yang tertinggi RM1,928.66. Tetapi disebabkan kami turut menerima permintaan dari luar negara, harganya akan berbeza dan kami akan kenakan bayaran untuk pelanggan luar negara dalam Dolar Amerika Syarikat,” tambah Benjamin sambil tersenyum.

Benjamin turut berkongsi kisah paling tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi pembawa keranda.

Katanya untuk setiap undangan, mereka tidak mengetahui keadaan fizikal si mati.

Ada dalam satu undangan, mayat yang perlu angkat 3 kali ganda saiz Giovani dan ia memang tugasan yang sangat berat.

Tetapi mereka tetap teruskan tanpa mengeluh kerana mereka tidak kenakan bayaran berdasarkan berat dan bila sudah dibayar, itulah tugasan yang perlu diselesaikan.

Benjamin juga tidak terlepas daripada khabar angin mengatakan mereka boleh bercakap dengan mayat dan banyak lagi namun katanya ia cuma kepercayaan karut dan mereka datang ke sesuatu majlis untuk angkat mayat dan memberi penghormatan sahaja.

Benjamin turut menjawab kes sebuah video di mana keranda yang dibawa terjatuh ketika “persembahan”, balasnya itu bukan syarikatnya dan disebabkan beliau merupakan pelopor kepada trend itu di Ghana, ramai syarikat lain yang cuba meniru tetapi tidak membuat persiapan yang betul.

“Individu dalam video berkenaan bukan kami tetapi syarikat pesaing. Perkara seperti itu sesuatu yang kami mahu elak dan disebabkan itu setiap tarian akan ada rehearsal dan persiapan terperinci,” kata Benjamin.

Apabila ditanya oleh Giovani sama ada mereka menolak kerja individu yang mati kerana Covid-19, mereka tidak menolak permintaan tersebut tetapi akan mengenakan bayaran 2 kali ganda berbanding harga normal.

Mereka terpaksa mengenakan harga tinggi kerana tugasan berkenaan lebih berisiko tinggi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.