Indonesia haram ‘balik kampung’ semasa Ramadan untuk bendung virus

Indonesia haram ‘balik kampung’ semasa Ramadan untuk bendung virus

Pakar perubatan beri amaran membenarkan jutaan pulang ke kampung beramai-ramai boleh percepatkan penularan Covid-19.

Orang ramai menaiki feri di pelabuhan Gilimanuk menuju ke kampung halaman di Pulau Jawa pada 1 Jun 2019. (Gambar AFP)
JAKARTA:
Indonesia akan mengharamkan tradisi tahunan rakyatnya yang keluar dari bandar secara beramai-ramai pada akhir bulan puasa pada Mei ini, ketika ia berusaha mengekang penyebaran koronavirus, kata Presiden Joko Widodo pada Selasa.

Jumlah kematian seramai 590 akibat virus itu di Indonesia yang tertinggi di rantau ini selepas China, tetapi Widodo sebelum ini menolak pengenaan larangan, sebaliknya berusaha menyakinkan orang ramai supaya tidak keluar kawasan.

Namun pakar perubatan memberi amaran membenarkan jutaan rakyat di negara paling ramai umat Islam itu pulang ke kampung semasa Ramadan boleh mempercepatkan penularan penyakit itu.

“Saya telah mengambil keputusan kita akan haramkan ‘mudik’,” kata Widodo dalam mesyuarat Kabinet, menggunakan istilah Indonesia bagi perjalanan balik kampung.

“Itulah sebabnya mengapa persiapan yang relevan harus dilakukan.”

Beliau memetik tinjauan Kementerian Pengangkutan yang menunjukkan 24% daripada rakyat di republik berpopulasi 260 juta orang itu berkeras mahu balik kampung beramai-ramai semasa Ramadan.

Tahun lalu, kira-kira 19.5 juta orang di republik itu balik kampung, kata kerajaan, dan Widodo menambah 7% rakyat Indonesia sudah balik kampung tahun ini.

Negara ke-4 paling ramai penduduk di dunia itu mencatatkan 6,760 kes jangkitan virus, jumlah ke-2 tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura, walaupun ada jangkaan jumlahnya jauh lebih tinggi.

Dalam satu kajian minggu lalu, penyelidik di fakulti kesihatan awam Universiti Indonesia memberi amaran jika “mudik” dibenarkan, ia boleh menyebabkan sejuta jangkitan di Pulau Jawa menjelang Julai.

Tanpa pergerakan secara beramai-ramai itu, angka dijangka dapat dikurangkan kepada 750,000 kes, kata penyelidik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.