Penghuni PPR hitung hari menanti PKP berakhir

Penghuni PPR hitung hari menanti PKP berakhir

Sekatan pergerakan faktor peningkatan jenayah kecil seperti mencuri dan melepak berikutan orang ramai jadi semakin gelisah, terdesak.

Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) paling terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.
PETALING JAYA:
Selama 34 hari, banyak keluarga terkurung di rumah pangsa kos rendah yang kecil, bersusah payah untuk memastikan ada makanan atas meja dan berusaha menjelaskan kepada anak-anak mengapa mereka tidak boleh keluar bermain.

Tempat tinggal yang sempit hanya satu daripada masalah yang dihadapi penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR); terdapat juga kebimbangan peningkatan jenayah kecil ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 yang kini memasuki pertengahan fasa ke-3.

Yuslina Yusuf, presiden persatuan penduduk PPR Kota Damansara, berkata sekatan pergerakan menyebabkan orang semakin gelisah dan, bagi sesetengah terdesak, keadaan yang memungkinkan berlakunya perbuatan mencuri dan melepak.

Dengan dua lanjutan setakat ini dan tiada jaminan ia akan berakhir pada pada 28 April, PKP menyaksikan ramai daripada golongan ini diberhentikan atau tidak mampu bekerja.

Menurut Yuslina, majoriti penghuni PPR itu bekerja sendiri. Mereka bekerja sebagai penjaja atau melakukan pekerjaan rencam, sementara peratusan yang lebih kecil bekerja di pasar raya, pemandu lori atau pengawal keselamatan.

“Sesetengah yang bekerja diarah bercuti tanpa gaji atau diberhentikan,” katanya kepada FMT.

“Sebilangannya dibayar setiap minggu, jadi jika tidak pergi bekerja, mereka tidak akan dibayar. Mereka yang dibayar secara bulanan mendapat separuh gaji dan macam-macam lagi. Mereka tiada pendapatan tetap.”

Sering kali, katanya, penghuni yang mempunyai keluarga besar sukar duduk di rumah.

“Dengan pelaksanaan PKP, ramai kanak-kanak berasa resah ketika semua orang terkurung dalam rumah.”

Manakala jenayah kecil, kawalan keselamatan yang rendah di rumah pangsa itu menyebabkan ia hampir tidak dapat dielakkan.

“Hidup di tempat seperti ini, anda terdedah kepada semua ini, terutama ketika orang terdesak,” kata Yuslina.

Setakat ini terdapat 5,389 kes Covid-19 yang dilaporkan dengan 89 kematian. Kira-kira 2,000 pesakit sedang menerima rawatan sementara lebih 3,000 pulih.

PKP, yang dilaksanakan pada 18 Mac, memperkenalkan beberapa kawalan termasuk menghadkan sektor dan aktiviti yang dibenarkan.

Yuslina berkata, ramai orang yang bermurah hati menderma kepada penghuni PPR.

“Kami terima banyak bantuan. Saya sangat hargai usaha membantu penghuni PPR semasa PKP, saya sangat bersyukur. ”

Tetapi sukar untuk menjangkau setiap seorang daripada 4,000 atau lebih penghuni yang tinggal di rumah pangsa PPR.

“Kami mempunyai 1,152 unit dengan rata-rata 4 penghuni bagi setiap unit. Kami menerima sekitar 600 atau 700 bungkusan, jadi kami hanya dapat bantu 50% atau 60% dalam satu masa,” katanya.

Walaupun kerajaan negeri membenarkan penangguhan sewa untuk Mei dan Jun, Yuslina mengatakan ramai yang tidak berpuas hati.

Dia berkata mereka berharap tersenarai dalam pengecualian 6 bulan yang Putrajaya beri pada penghuni rumah pangsa PPR yang diselia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PPR Kota Damansara satu daripada 4 rumah pangsa kediaman kos rendah bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Yang lain PPR Kg Baru Hicom, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.

Yuslina berkata, persatuan penduduk menulis surat kepada Adun memohon supaya mereka diberi pengecualian 6 bulan yang sama seperti rumah pangsa PPR bawah kementerian persekutuan.

Namun, dia berkata kerajaan negeri perlu mengeluarkan lebih banyak belanja jika sewa ditangguhkan selama 6 bulan.

“Kadar sewa 2 bulan boleh dibayar dalam tempoh 18 bulan.

“Saya tidak boleh pertikaikan lagi kerana anda boleh bayar secara ansuran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.