Rakyat Malaysia pulang dari luar negara wajib dikuarantin, elak kluster baru

Rakyat Malaysia pulang dari luar negara wajib dikuarantin, elak kluster baru

17 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara setakat ini.

Seramai 16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 190 pusat kuarantin di seluruh negara. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Kerajaan membuat keputusan tepat mewajibkan kuarantin ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara selepas 17 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan mereka.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, jika langkah itu tidak dibuat, ia boleh menyebabkan berlakunya penularan baru wabak berkenaan dari kalangan mereka yang pulang ke tanah air.

Katanya, kluster baru mungkin wujud sekiranya mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dan seterusnya mendedahkan ahli keluarga yang lain kepada wabak berkenaan.

“Kita faham ramai yang agak kurang senang dengan kuarantin wajib yang kita perkenalkan ini. Namun berdasarkan laporan yang kita terima daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kita dapati terdapat 17 kes positif Covid-19 dalam kalangan rakyat kita yang pulang dari luar negara.

“Cuba kita bayangkan kalau kita bebaskan mereka. Keluarga mereka pastinya terdedah Covid-19 dan jika antara anggota keluarga itu keluar ke pasar, ke pasar raya dan sebagainya untuk membeli barangan misalnya, tentu saja jangkitan itu akan merebak dengan lebih luas.

“Pastinya akan wujud kluster baru iaitu kluster rakyat kita yang pulang dari luar negara. Dengan perintah PKP ini, kita dapat membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri bersama pihak berkempentingan mendepani Covid-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Ismail turut meminta semua pihak supaya mematuhi arahan PKP, bagi membolehkan ia ditamatkan dengan cepat.

PKP yang bermula pada 18 Mac lepas kini memasuki fasa ke-3 dan dijadual berakhir pada 28 April depan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewajibkan kesemua individu yang tiba ke negara ini menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata, individu dari Sabah dan Sarawak yang menjalani kuarantin wajib di Semenanjung selepas pulang dari luar negara, tidak lagi perlu dikuarantin apabila kembali ke negeri asal mereka.

Ismail berkata, 1,290 individu daripada 11,947 rakyat yang dikuarantin telah tamat menjalaninya dan dibenarkan pulang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 72 orang akan pulang ke Sarawak.

Katanya, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menguruskan penerbangan pulang mereka.

“Penghantaran pulang ke sana nanti diuruskan Nadma dan mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin sekembalinya ke sana kerana sudah selesai ikuti kuarantin di Semenanjung,” katanya.

Ismail berkata, hingga semalam sebanyak 190 pusat kuarantin beroperasi dengan seramai 16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 573 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikenakan perintah kuarantin wajib,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.