
Ketua pegawai eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, PPBMM tidak boleh menjualnya semula dengan harga lebih tinggi di pasaran.
“Ini berikutan pihak yang memonopoli import masuk beras pada ketika ini adalah pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan PadiBeras Nasional Berhad (Bernas).
“Harga beras borong yang dijual semula oleh kartel beras ini telah pun naik RM0.20 dan terkini naik sekali lagi RM0.40,” katanya.
Yazid berkata, para peruncit terpaksa menerima margin keuntungan yang sangat kecil kerana tidak boleh menaikkan harga runcit sesuka hati.
Katanya, MTEM menuntut penjelasan rasmi daripada pihak terlibat, sama ada benar ketika ini pihak kementerian dan pemegang lesen pengimport dan pengedar eksklusif mengimport beras setiap minggu untuk menampung permintaan dalam negara.

“Adakah Bernas mendapat subsidi harga beras import seperti yang berlaku pada tahun 2008.
“Adakah kerajaan secara tidak langsung memberi ‘subsidi’ mewah kepada syarikat swasta yang sepatutnya membantu kerajaan ketika keadaan krisis ini,” katanya.
Pada 1996, Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan yang menyaksikan Bernas menjadi pemegang permit tunggal pengimport beras sehingga 2021.
Dalam pada itu, Yazid menggesa kerajaan agar bersikap adil dalam mengagihkan beras kepada semua pemborong dengan harga yang berpatutan.
Katanya, tidak patut selama ini dalam keadaan aman mereka mengaut untung jutaan ringgit dan menikmati pelbagai keistimewaan, tetapi ketika krisis tidak mahu membantu, malah mengambil kesempatan ke atas peniaga lain.
“Industri beras perlulah diuruskan dan beroperasi dengan lebih telus bagi menjamin kelangsungan keselamatan makanan negara juga keselamatan ekonomi untuk pemain industri bumiputera Melayu.
“Sudah tiba masanya kerajaan baru ini merombak semula industri padi dan beras. Kepentingan agenda ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan ketika ini hanya sekadar melepaskan batuk ditangga,” katanya.
Yazid berkata, monopoli hanya menguntungkan satu pihak dan tidak membantu serta memanfaatkan rantaian bekalan beras dari pesawah, pengilang, pemborong dan penjual.
“Tragedi wabak Covid-19 sebenarnya tidak harus dimanipulasikan bagi menguntungkan monopoli suatu pihak, sebalik perlu diambil pelajaran oleh kerajaan untuk membangun upaya sebenar keselamatan makanan negara bersama seluruh pemain industry, terutama pesawah dan pemain PKS,” katanya.