
Beberapa hari lalu, dilaporkan kisah keluarga yang memberikan nama anak mereka dengan beberapa nama unik sempena Covid-19 iaitu Covid dan Corona serta Lockdown.
Terbaru, sepasang suami isteri di sebuah negeri di utara India menamakan bayi mereka dengan nama “Sanitiser” kerana nama itu mudah diingati berikutan ia menjadi keperluan orang ramai ketika ini.
Menurut bapa kepada bayi berkenaan, Omveer, sanitiser kini banyak dibekalkan secara percuma kepada orang ramai dalam usaha kerajaan memastikan semua orang kekal selamat daripada jangkitan Covid-19.
“Menggunakan cecair pembasmi kuman (sanitiser) sangat penting untuk memastikan diri kita selamat daripada Covid-19.
“Saya dan isteri sangat kagum dengan langkah diambil Perdana Menteri, Narendra Modi dan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath dalam melawan wabak ini.
“Oleh itu, kami sepakat memberi anak kami nama ‘Sanitiser’. Apatah lagi, ia digunakan setiap orang ketika ini bagi mengelak penularan kuman di tangan kita,” katanya kepada India Today.
Sebelum ini, seorang bayi dari Indonesia juga telah diberikan nama Virus Abdul Covid sempena wabak koronavirus yang sedang melanda dunia ketika ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]