Selangor, Kelantan umum inisiatif e-bazar Ramadan guna platform digital

Selangor, Kelantan umum inisiatif e-bazar Ramadan guna platform digital

Kerajaan Selangor mengenal pasti 77 pusat pengumpulan terdiri daripada 10 dewan di bawah PBT dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di negeri itu.

Kerajaan negeri Selangor dan Kelantan akan memperkenalkan inisitaif bazar Ramadan bagi membantu peniaga dan memberi kemudahan kepada orang ramai pada bulan puasa ini. (Bernama pic)
SHAH ALAM:
Negeri Selangor dan Kelantan hari ini masing-masing mengumumkan inisiatif e-bazar Ramadan, khusus untuk kemudahan orang ramai menjalani ibadah puasa dalam persekitaran yang mematuhi tuntutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memperkenalkan GRAB Selangor dan Platform Selangor (PLATS) sebagai 2 platform e-dagang khusus bagi e-bazar Ramadan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga mengenal pasti 77 pusat pengumpulan yang terdiri daripada 10 dewan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor.

“Juadah ini akan dihantar oleh rakan penghantar seperti GRAB, BungkusIt, Mr. Speedy, Zepto Express serta MatDespatch dan semua pusat ini akan mematuhi arahan jarakan sosial serta amalan kebersihan yang ketat.

“Para peniaga juga dipastikan mendapat suntikan pelalian typhoid seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Amirudin, kerajaan negeri juga menegaskan bahawa konsep “e-kitchen” hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja dan tiada sebarang aktiviti memasak akan dibuat di pusat berkenaan.

“Pembelian secara ‘walk-in’ juga tidak dibenarkan. Bagi menggalakkan lagi penyertaan peniaga ke dalam program ini kerajaan negeri turut menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada para peniaga kecil yang layak dengan pembiayaan RM3,000 hingga RM5,000 melalui Hijrah Selangor,” katanya

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan peniaga menyertai E-Bazar berkenaan.

Di Kota Bharu, Kelantan memperkenalkan konsep perniagaan dalam talian e-bazar Ramadan dalam usaha membantu kira-kira 2,000 peniaga dan penjaja kecil yang sering berniaga di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Kelantan akan bekerjasama dengan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd untuk melaksanakan konsep perniagaan itu pada Ramadan kali ini.

“Peniaga dan penjaja kecil makanan terlebih dahulu perlu mendaftar untuk menyertai program ini. Mereka akan memasak makanan dari rumah dan akan dihantar ke pusat pengumpulan yang dibuka di setiap jajahan.

“Penghantar makanan (rider) yang berdaftar pula akan mengambil bungkusan makanan itu sebelum diserahkan kepada pelanggan yang telah membuat tempahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pelanggan boleh membuat tempahan sebelum pukul 10.30 pagi pada setiap hari dan peniaga perlu menghantar makanan ke pusat pengumpulan sebelum pukul 3.30 petang, dan kemudiannya akan dihantar oleh penghantar makanan.

“Sehingga semalam sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara, tiada lagi mukim yang dikategorikan sebagai kawasan merah, manakala kuning (12 mukim) dan hijau (53 mukim).

“Kita harap jika momentum ini dapat diteruskan, dalam jangka masa tertentu nanti, kesemua mukim di Kelantan akan menjadi kawasan hijau tanpa sebarang kes,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.