KKM buat saringan besar-besaran pekerja asing di lokasi panas Covid-19

KKM buat saringan besar-besaran pekerja asing di lokasi panas Covid-19

Inisiatif saringan beramai-ramai bergantung kepada lokasi yang menyaksikan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan menjalankan perintah kawalan pergerakan bersasar ke atas kumpulan berisiko tinggi jangkitan Covid-19.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pihaknya akan menjalankan ujian saringan secara beramai-ramai (mass screening) ke atas pekerja asing di beberapa “lokasi panas” jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu bagaimanapun dibuat bukan disebabkan kes kematian ke-88 yang melibatkan lelaki warganegara Myanmar berumur 36 tahun.

Sebaliknya ia bergantung kepada lokasi yang menyaksikan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

“Kita akan jalankan TMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar/ Targeted Movement Control Orders) ke atas kumpulan yang berisiko tinggi seperti di pasar borong atau pelajar tahfiz.

“Jadi, ia bukan dijalankan berdasarkan negeri atau negara asal, tapi kita tumpu kepada lokasi,” katanya pada sidang media harian mengenai wabak Covid-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham turut mengumumkan 1 lagi hospital kerajaan yang menyaksikan kluster baru jangkitan Covid-19 di Sabah, iaitu Hospital Queen Elizabeth 2.

Beliau berkata, sehingga kini, kesemua kes positif, termasuk 2 kes yang dilaporkan hari ini masih dirawat.

“Kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan 8 ahli keluarga mereka,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Sabah mengenal pasti 2 kluster Covid-19 dalam kalangan petugasnya di Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKKS) di Likas serta Hospital Keningau di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, penghantar makanan perlu menjalani ujian saringan Covid-19, sama ada di klinik kesihatan atau klinik swasta.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan mereka tidak dijangkiti atau menjangkiti semasa menghantar makanan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan KKM mempunyai bekalan pakaian pelindung diri (PPE) yang mencukupi untuk tempoh satu bulan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa item dalam set PPE yang masih memerlukan tambahan sepert,i topeng muka N95.

“Lebih kurang (bertahan) untuk 19 hari,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.