‘Halau’ Rohingya kerana bimbang Covid-19 alasan teruk, kata NGO

‘Halau’ Rohingya kerana bimbang Covid-19 alasan teruk, kata NGO

Ia susulan laporan pesawat TUDM berjaya mematahkan cubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara di Pulau Langkawi.

Bot yang memuatkan pelarian Rohingya di perairan negara di Pulau Langkawi. (Gambar MMEA)
PETALING JAYA:
Dua kumpulan hak asasi manusia mengkritik pihak berkuasa Malaysia kerana menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan “menghalau” bot yang membawa muatan etnik Rohingya yang mencari perlindungan di negara ini.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira dan Pengarah Eksekutif Forum-Asia, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata 200 pelarian yang berpotensi menjadi pelarian kini dalam bahaya dan memberitahu FMT bahawa mereka terkejut dengan kekejaman itu.

Pereira menyatakan Malaysia pernah menguruskan pelarian dengan sistematik pada masa lalu, berkata mengusir kumpulan ini adalah tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau memberi amaran kumpulan itu boleh menjadi mangsa perdagangan manusia. “Penyeludup mengambil kesempatan terhadap pendatang dan pelarian yang terdesak, terutama dalam krisis,” katanya.

Shamini berkata kumpulan boleh menjadi sasaran “jenayah serius antarabangsa” jika mereka tidak mempunyai pilihan selain kembali ke Myanmar.

Semalam, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan berjaya mematahkan cubaan 200 pendatang tanpa izin memasuki perairan negara yang dikesan di 70 batu nautika dari barat Pulau Langkawi.

TUDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya bimbang kumpulan itu akan membawa kluster baru Covid-19 ke negara ini.

Anak kapal KD Lekiu mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan itu dan mengiringi bot mereka keluar dari perairan Malaysia.

Pereira berkata kerajaan sudah lama bersimpati dengan penderitaan Rohingya dan berkata mereka seharusnya memberi perlindungan sementara kepada kumpulan itu.

“Kita seharusnya dapat menolong mereka. Saya tidak fikir isu kesihatan adalah alasan yang baik. Ia dapat diuruskan,” katanya.

Beliau menambah tidak masuk akal untuk mengatakan mereka akan membebani sumber negara kerana pendatang asing memberi sumbangan besar kepada ekonomi Malaysia. “Ini mengenai bagaimana kita menguruskan wang.”

Beliau berkata tindakan menghalau warga asing itu mencemarkan imej antarabangsa Malaysia.

Shamini berkata kerajaan tidak seharusnya menyebut langkah itu diambilnya bagi menghalang ancaman Covid-19 sebagai helah untuk mencabul undang-undang antarabangsa.

“Malaysia mempunyai kewajipan moral untuk memberikan keselamatan kepada mereka yang mencari suaka dari jenayah serius dan menghormati undang-undang antarabangsa, khususnya prinsip non-refoulement.”

Sebarang tindak balas terhadap wabak itu, kata Shamini, harus bersifat inklusif dan tidak boleh memburukkan lagi keadaan Rohingya.

“Membiarkan Rohingya terkandas di laut akan membuat mereka lebih terdedah kepada Covid-19, yang hanya akan memburukkan pandemik global,” katanya.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian memberitahu FMT bahawa saringan, kuarantin dan langkah-langkah lain boleh diatur.

Beliau berkata ini membolehkan pihak berkuasa menguruskan kedatangan pencari suaka dan pelarian dengan cara yang selamat sambil menghormati piawaian perlindungan pelarian antarabangsa.

“Kerajaan Malaysia menunjukkan bagaimana hal ini dapat dikendalikan dengan baik dengan kumpulan yang dipercayai pelarian Rohingya yang tiba dengan kapal di Langkawi pada awal April,” katanya.

Dalam kejadian pada 5 April, pelarian dibenarkan turun dan mereka disaring dan dikuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.