
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat faktor utama yang perlu dicapai sebelum PKP dapat ditamatkan antara jumlah kadar kes kebolehjangkitan dalam kalangan masyarakat dapat dikurangkan.
‘“Untuk menamatkan PKP ini kita kena lihat beberapa faktor, antara faktor dikenal pasti ialah kes berkurangan contohnya kes positif. Sebanyak 2,967 jumlah sembuh dan kita tolak kes meninggal 86 jadi kita ada kes positif yang masih dirawat 2,198.
“Jadi kita lihat unjuran kebolehjangkitan kita sebelum ini ialah 2,033 menjelang 14 April, justeru ia ‘lari’ sedikit, iaitu sekitar 150 kes.
“Oleh itu, sekiranya kita ingin menamatkan PKP, antara faktor atau petunjuk yang perlu diambil kira ialah kadar kebolehjangkitan atau jumlah kes positif Covid-19 dalam komuniti.
“Kita perlu ada strategi keluar untuk menamatkan PKP dengan meletakkan sasaran mengurangkan kes jangkitan dalam komuniti.
“Kita lihat dalam pemantauan kita kes SARI semakin berkurangan dan jadi itu salah satu indikasi yang lain untuk kita menasihatkan kepada MKN untuk menamatkan PKP,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini,
Katanya, jika, jangkitan baru boleh dikurangkan ia dapat mengawal kawasan jangkitan dalam komuniti supaya tiada kluster besar wujud.
“Kita juga melihat kepada kawasan tertentu dan kepadatan kawasan tersebut sama ada ada jangkitan atau kluster yang baru di kawasan tersebut. Mungkin ada satu kes boleh dikesan tapi yang lebih penting dia tidak menjadi satu kluster yang besar,” katanya.
Noor Hisham berkata, sebelum PKP dapat ditamatkan, pihaknya perlu memastikan tahap keupayaan makmal mengesan jangkitan dengan cepat dan tepat.
“Kita perlu lihat keupayaan makmal kita sama ada dapat kesan dengan cepat dan tepat, keupayaan hospital supaya dapat menampung jumlah pesakit dan memberi rawatan terbaik, jadi kalau jumlah jangkitan baru rendah, kita dapat merawat pesakit dengan terbaik.
“Ternyata setakat ini kes yang dimasukkan ke hospital walaupun tidak ada gejala dan gejala ringan, kita masukkan dalam hospital dan pantau.
“Mereka yang ada gejala yang lebih dan ada radang paru-paru kita akan beri rawatan yang terbaik dan mereka yang masuk ke ICU pun kurang dengan 4.9% sahaja. Dan mereka yang memerlukan bantuan alat pernafasan pun kurang. Apa yang penting kita berikan rawatan yang terbaik kepada pesakit.
Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan 6 syarat kepada negara-negara yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 sekiranya mahu menamatkan perintah berkurang ataupun PKP.
Pertama adalah penyebaran penyakit terkawal, sistem kesihatan dapat “mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat setiap kes dan mengesan setiap kontak”, risiko zon merah diminimumkan, sekolah, tempat kerja dan tempat-tempat penting lain menetapkan langkah pencegahan, risiko kes import dapat diatasi, masyarakat dididik sepenuhnya tentang Covid-19, terlibat sama dan diberi kuasa untuk hidup di bawah keadaan normal.