Industri bunga RM1 juta di Cameron Highlands ‘layu’ akibat PKP

Industri bunga RM1 juta di Cameron Highlands ‘layu’ akibat PKP

Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, jualan bunga jualan jatuh mendadak dan ada bunga terpaksa dibuang.

Hasil jualan bunga di Cameron Highlands turun mendadak kerana PKP.
PETALING JAYA:
Ketika hari yang baik, penanam bunga di Cameron Highlands biasanya menjual bunga sehingga RM1 juta – namun kini tidak lagi.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac, mereka berkata jualan jatuh mendadak.

Dan ada bunga terpaksa dibuang.

Presiden Persatuan Penanam Bunga Cameron Highlands Lee Peng Ho berkata, pekebun meraih semula pendapatan sekitar 20% daripada hasil jualan mereka sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata ia berikutan festival keagamaan dan kebudayaan seperti Good Friday, Easter Sunday, Songkran dan tahun baru Tamil.

Ketika ini, mereka turut mengeksport bunga seperti teluki dan kekwa ke Singapura, Thailand dan Hong Kong.

“Mungkin ada permintaan lagi pada Mei karana penganut agama Buddha akan merayakan Hari Wesak,” kata Lee kepada FMT.

Namun, beliau sangsi mereka dapat mengekalkan jualan walaupun hanya 20% daripada jualan biasa berikutan PKP dilanjutkan sehingga 28 April.

Oleh itu, ramai peniaga kecil yang biasa menjual bunga dari kedai atau gerai di tepi jalan tidak lagi dapat berbuat demikian.

Menurut Lee, kira-kira 150 ladang di tanah tinggi itu mengeluarkan antara 80 hingga 100 tan bunga sehari, bernilai RM600,000 hingga RM1 juta.

Pada waktu biasa, bunga juga turut dieksport ke Australia, China, Taiwan dan Timur Tengah.

Kira-kira 5,000 pekerja, kebanyakannya dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar, bekerja di ladang berkenaan.

“Mereka masih perlu menyelenggara ladang dan menuai bunga, yang sebahagian besarnya harus dibuang kerana tempahan turun mendadak,” kata Lee.

Walaupun hari-hari mendatang kelihatan suram, katanya, persatuan itu menemui pegawai jabatan pertanian daerah bagi membincangkan situasi dan kerugian yang ditanggung pekebun.

“Mereka berjanji untuk merujuk masalah ini kepada pegawai kementerian bagi membantu pekebun kekal dalam perniagaan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.