Covid-19: Duterte ancam guna undang-undang tentera jika rakyat terus ingkar

Covid-19: Duterte ancam guna undang-undang tentera jika rakyat terus ingkar

Filipina mengesan kira-kira5,660 kes Covid-19 dengan 362 kematian, tetapi angka itu dijangka meningkat apabila ia meningkatkan saringan.

Duterte meminta rakyat Filipina lebih berdisiplin dan mematuhi arahan sekatan bagi mengekang penularan Covid-19. (Gambar AP)
MANILA:
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, mengancam mengambil tindakan keras seperti menggunakan undang-undang tentera untuk menghentikan rakyatnya yang mengingkari sekatan pergerakan Covid-19 di ibu negaranya.

Duterte mengumumkan perkara itu sehari selepas pihak berkuasa melaporkan peningkatan kenderaan di atas jalan raya di Manila, yang lengang sejak sekatan pergerakan besar-besaran dilaksanakan sebulan lalu melibatkan 110 juta penduduk di negara itu.

“Saya hanya meminta sedikit disiplin. Jika tidak, jika anda tidak mempercayai saya, jadi tentera dan polis akan ambil alih,” kata Duterte dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada lewat Khamis.

“Tentera dan polis akan menguatkuasakan penjarakan sosial ketika perintah berkurung … ia seperti undang-undang tentera. Anda pilih,” tambahnya.

Duterte berulang kali mengancam untuk melaksanakan undang-undang ketenteraan di seluruh Filipina. Kata-kata itu membangkitkan kebimbangan mengenai penyalahgunaan hak terburuk yang dikaitkan dengan pemerintahan diktator Ferdinand Marcos.

Setakat ini Duterte melaksanakan udang-undang tentera ke atas Mindanao, negeri ketiga di selatan negara itu, sebagai tindak balas terhadap militan yang mahu mewujudkan negara Islam yang mengepung kota Marawi.

Seperti dilaporkan, kes baru koronavirus mula melonjak pada Mac, menyebabkan Duterte mengarahkan kuarantin di utara pulau Luzon, termasuk 12 juta penduduk di ibu negaranya.

Hanya pekerja sektor penting dan orang ramai yang ingin membeli makanan atau ubatan dibenarkan keluar rumah, namun ramai yang mengingkari peraturan itu.

Di sesetengan tempat, pekerja harian yang miskin tidak mempunyai pilihan selain keluar mencari pekerjaan, walaupun polis turut melaporkan penganjuran acara sosial seperti pertandingan tinju amatur.

Polis berkata mereka memberi amaran atau menahan ribuan orang yang ditangkap di luar rumah tanpa alasan yang munasabah.

Filipina mengesan sekitar 5,660 kes koronavirus, dan merekodkan 362 kematian, tetapi angka berkenaan dijangka meningkat ketika negara berkenaan terus meningkatkan saringan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.