
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 3 ketika ini menyaksikan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia dan seluruh dunia secara amnya terpaksa bekerja daripada rumah atau “work from home”.
Walaupun “work from home” atau WFH ini pada kebanyakan masa memberi kebebasan kepada pekerja, namun ada ketikanya ia sangat sukar untuk dilakukan.
Terutama buat mereka yang mempunyai anak kecil dan ahli keluarga yang berkumpul di rumah lebih-lebih lagi di musim PKP ini.
Menyedari masalah ruang bekerja yang tidak selesa di rumah, sebuah syarikat dari Jepun ini tampil dengan ciptaan terbaru mereka yang dikenali sebagai “khemah privasi”.
Secara teknikalnya ia bukanlah inovasi baru malah rupanya juga tidak ubah seperti khemah yang biasa kita lihat sebelum ini.
Namun khemah privasi yang ditawarkan dengan harga RM322.74 ini dicipta untuk membolehkan pengguna meletakkan meja dan kerusi bagi melakukan kerja-kerja mereka.

Saiznya yang tidak terlalu besar untuk dipasang juga memberikan anda kebebasan untuk WFH di mana-mana ruang di rumah tanpa gangguan daripada keluarga dan anak-anak.
Anda juga tidak perlu risau untuk menyimpan khemah ini selepas menggunakannya kerana seperti khemah-khemah lain yang tersedia di pasaran sebelum ini, ia juga boleh dilipat dan dimuatkan ke dalam beg.
Dengan ciri simpanan yang praktikal ini, khemah ini mungkin menjadi salah satu penyelesaian terbaik buat anda yang mengalami masalah yang perlu bekerja daripada rumah ketika ini.

Mungkin selain daripada WFH, khemah ini juga boleh digunakan sebagai ruang privasi buat mereka yang ingin menonton rancangan kegemaran di Netflix dan juga bermain online game tanpa gangguan.
Walaupun ia bukannya sebuah kotak yang mampu menghalang terus komunikasi kita dengan orang lain di sekeliling namun setidaknya ia mampu untuk memberi privasi yang diperlukan ketika melakukan kerja dan berhibur.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]