Malaysia bakal hilang RM300 bilion hasil minyak dalam 10 tahun, kata pakar

Malaysia bakal hilang RM300 bilion hasil minyak dalam 10 tahun, kata pakar

Malaysia dijangka hilang AS$1.7 bilion pelaburan modal baru dan pengurangan hasil sebanyak AS$7.1 bilion setiap tahun.

Felo kanan Ideas berkata, Malaysia perlu mempelbagai sumber hasilnya supaya tidak terlalu bergantung pada hasil minyak. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata hari ini bahawa Malaysia mungkin hilang lebih RM300 bilion hasil dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya harga minyak kekal rendah.

Profesor madya di Asia School of Business Renato Lima de Oliveira berkata, berdasarkan kajian lapangan, jika harga minyak kekal di paras AS$30 satu tong hingga 2030, dunia akan menyaksikan pengurangan sehingga AS$170 bilion pelaburan modal dalam kapasiti pengeluaran baru dan AS$616 bilion hasil kerajaan.

Oliveira berkata, Malaysia dijangka hilang AS$1.7 bilion pelaburan modal baru dan pengurangan hasil daripada minyak dan gas sebanyak AS$7.1 bilion setiap tahun, sekali gus menambah bahawa keadaan itu akan semakin menekan kedudukan kewangan negara.

“Dalam jangka pendek, industri minyak berdepan masalah kekurangan permintaan akibat wabak Covid-19. Kira-kira 75% permintaan minyak digunakan untuk pengangkutan, dan langkah sekatan pergerakan menghentikan mobiliti.

“Dasar duduk di rumah memberi kesan besar ke atas sektor minyak,” katanya pada satu perbincangan webinar dianjurkan oleh Centre for Market Education (CME).

Beliau juga berkata, keadaan itu menunjukkan betapa Malaysia perlu mempelbagaikan sumber hasilnya untuk tidak terlalu bergantung pada minyak, selain mengambil langkah inovatif dalam sektor minyak dan gas bagi mengurangkan kos.

Katanya, negara pengeluar utama minyak iaitu Arab Saudi dan Rusia terlibat dalam perang harga sejak Mac.

“Pada masa itu, kes Covid-19 tidak sampai 150,000, tetapi dalam tempoh beberapa hari sahaja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik dan lebih banyak negara mengambil langkah mengadakan sekatan mobiliti.

“Ini semakin meningkatkan lebihan penawaran minyak,” katanya.

Beliau berkata, pada kadar sekarang, anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) mempunyai rizab minyak yang dapat bertahan selama 86 tahun.

“Dengan penurunan kos dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharu dan kemajuan yang dicapai dalam kenderaan elektrik serta teknologi bateri, Arab Saudi dan negara Opec lain mungkin mengubah perkiraan mereka daripada mengehadkan pengeluaran kepada memulihara rizab,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.