
Wilayah utara biasanya mengalami hujan lebat pada 2 minggu pertama April, tetapi tahun ini keadaan berlaku sebaliknya kerana cuaca kering luar biasa sejak separuh kedua 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Jaseni Maidinsa berkata, pembenihan awam mampu mengelakkan kekurangan bekalan air ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi mengekang penularan Covid-19.
“Dengan kehadiran awan hujan sekarang, adalah baik menjalankan pembenihan awan bagi mencetus hujan sebanyak mungkin kerana potensi kejayaan agak tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah bekalan air yang mencukupi kunci dalam usaha mengekang penularan virus itu supaya orang ramai dapat mengamalkan kebersihan diri yang baik setiap hari.
Enam empangan terbabit menampung keperluan kira-kira 3.95 juta penduduk di Pulau Pinang dan Kedah.
Jasedni berkata PBAPP menerima aduan aduan “tekanan air rendah” atau “tiada bekalan air” sekejap-sekejap daripada pengguna di Air Itam, Bukit Bendera, Paya Terubong, Gertak Sanggul dan Mount Erskine.
Sambil menambah kawasan yang terkesan itu diklasifikasikan sebagai “kawasan tanah tinggi” atau “kawasan hujung saluran paip”, beliau berkata lori air dihantar ke kawasan yang terjejas.
Kebiasaannya, PBAPP akan mempertingkatkan pengeluaran air di loji rawatan untuk menangani isu-isu berkenaan.
“Namun, dalam senario musim kering yang luar biasa ini, PBAPP tidak boleh secara agresif melepaskan simpanan air yang rendah di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang untuk membekalkan lebih banyak air mentah ke loji rawatan air berkenaan.”
Sehingga hari ini, Empangan Muda di Kedah berada bawah paras kritikal iaitu 4.4%. Diikuti Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang (20.9%), Empangan Air Itam, Pulau Pinang (33.3%), Empangan Pedu, Kedah (33.4%), Empangan Beris, Kedah (39.6%) dan Empangan Mengkuang, Pulau Pinang (68.3%).