Perancis panggil duta China bantah komen kontroversi Covid-19

Perancis panggil duta China bantah komen kontroversi Covid-19

Kedutaan China di Perancis mengkritik cara negara Barat, termasuk Perancis menangani krisis Covid-19.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian membantah kritikan Beijing terhadap tindak balas negara itu ke atas penularan Covid-19. (Gambar Reuters)
PARIS:
Kementerian Luar Perancis pada Selasa memanggil duta China untuk membantah satu siri komen kontroversi dikeluarkan kedutaan itu berhubung Covid-19.

“Saya menyatakan dengan jelas bantahan saya terhadap komen tertentu baru-baru ini apabila duta itu…dipanggil pagi ini,” kata Menteri Luar, Jean-Yves Le Drian dalam satu kenyataan sambil menambah komen itu tidak sejajar “kualiti hubungan dua hala” antara Perancis dan China.

Kedutaan China di Perancis mengetuai kempen hubungan awam berprofil tinggi beberapa minggu ini untuk bermegah dengan kejayaan Beijing menghentikan penularan koronavirus dan mengkritik cara negara Barat menangani krisis itu.

Ahad lalu, Kedutaan China menyiarkan teks panjang bertajuk “Membetulkan fakta diputar belit – Pemerhatian seorang diplomat China yang ditugaskan ke Paris”.

Diplomat itu, yang tidak dinamakan dalam teks itu, mengkritik tindak balas negara Barat terhadap penularan Covid-19 sebagai lembap.

Tetapi, paling jelas ialah diplomat itu mendakwa kakitangan di rumah jagaan orang tua di Perancis “meninggalkan tugas mereka semalaman…dan membiarkan penghuni mati kelaparan dan akibat penyakit”.

Komen itu mencetuskan kemarahan di seluruh spektrum politik dengan ramai yang tampil mempertahankan kakitangan rumah jagaan orang tua.

China mendapat pujian sesetengah pihak di Eropah atas sumbangan bantuan perubatan, tetapi ada yang mendakwa Beijing mengeksploitasi sumbangan itu untuk tujuan propaganda.

Sesetengah pakar turut mendakwa negara itu gagal mendedahkan maklumat dengan cepat ketika virus itu mula merebak di China menyebabkan tindak balas global terjejas.

“Tiada ruang untuk polemik dan Perancis bekerja keras demi perpaduan, solidariti dan kerjasama antarabangsa.

“Tindakan solidariti timbal balik antara China dan Perancis membuktikan hasrat kami untuk menghadapi perkara ini secara setara,” kata Le Drian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.