
Kuarantin besar-besaran 3,500 penduduk yang sepatutnya hanya 14 hari, kini dilanjutkan lebih dari sebulan.
Pada masa ini, penduduk kampung sudah terbiasa dengan pengumuman yang dilaungkan menerusi pembesar suara polis, mengingatkan mereka supaya “tinggal di rumah, kekal bertenang dan jaga kebersihan”.
Semalam, kerajaan mengatakan PKPD di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid akan ditarik semula pada 28 April, pada hari yang sama perintah kawalan pergerakan di seluruh negara dijangka berakhir.
Bawah PKPD, penduduk dilarang meninggalkan rumah mereka, bahkan tidak dibenarkan untuk membeli barang keperluan. Sebaliknya, pihak berkuasa akan mengedarkan makanan dan keperluan asas dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sepanjang tempoh itu, kira-kira 200 anggota polis dan tentera melakukan lebih daripada 15 sekatan jalan raya di 2 kampung terbabit, dibantu kira-kira 20 sukarelawan tempatan.
Namun, kedua-dua kawasan itu terus melaporkan kes baru.
Ketua Kampung Dato Ibrahim Majid berkata kes baru dilaporkan hampir setiap hari di 2 kawasan berkenaan.
“Baru-baru ini, ada juga 2 kematian baru,” kata Sarlan Yasmin kepada FMT.
Beliau berkata penduduk lebih mementingkan keselamatan daripada kesan sekatan terhadap punca pendapatan mereka.
Sebahagian besar penduduk adalah pesara, atau berkerja sebagai petani atau pekebun kecil kelapa sawit.
“Setakat ini tiada penduduk kemukakan masalah atau menyatakan tiada duit. Walaupun mereka ada duit sekarang, mereka tidak dapat gunakannya,” tambah Sarlan.
Beliau mengatakan antara kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung adalah kawasan mereka “masih belum bersih”.
Meskipun pihak berkuasa melaksanakan langkah ketat, Sarlan mengatakan banyak rumah masih belum menjalani saringan Covid-19.
“Banyak kawasan di kampung ini, terutama di kawasan pedalaman, belum menjalani saringan. Setakat ini kira-kira 500 rumah sudah menjalani saringan. Sementara mereka yang sudah menjalani saringan masih menunggu keputusan.”
Sarlan berkata pihak berkuasa dan penduduk kampung memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh PKPD.
Sekurang-kurangnya 2 kali seminggu, penduduk kampung akan diberi barang makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung.
“Manakala makanan segar seperti ikan, sayur-sayuran dan telur, mereka bekalkannya setiap hari,” katanya.
Barang-barang lain seperti lampin pakai buang untuk bayi dan penduduk yang uzur diberikan kepadanya sebagai ketua kampung, untuk diedarkan kepada isi rumah yang memerlukannya.
“Pihak berkuasa sangat bekerjasama dengan saya, dan bertungkus lumus menjalankan tugas mereka,” kata Sarlan.