
Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu diambil bagi menyelesaikan isu kesesakan di penjara biasa dan penjarakkan sosial apabila terlalu ramai mereka diletakkan dalam satu tempat selepas ditahan.
“Seperti diumumkan semalam, mulai hari ini (fasa 3 PKP bermula) PDRM tidak akan lagi mengeluarkan notis kompaun. Mereka yang didapati ingkar PKP akan terus direman dan dihadapkan ke mahkamah.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewartakan 13 Akademi Penjara sebagai pusat tahanan sementara bagi individu yang dijatuhi hukuman penjara bagi kesalahan mengingkari PKP,” katanya selepas mesyuarat khas di Perdana Putra.
Katanya, walaupun tahanan dibuat di akademi penjara, prosedur operasi standard (SOP) jabatan penjara akan diguna pakai di premis itu untuk pesalah menjalani hukuman sama seperti di penjara.
“Makanan bermewah apa semua tak ada, peratusan sama dengan penjara biasa,” katanya.
Ismail berkata kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil gagal mematuhi PKP ketika fasa 3 ini.
“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang didapati tidak mematuhi arahan pihak berkuasa, kerjasama semua rakyat Malaysia amat diperlukan bagi memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya.
612 pengingkar PKP ditahan
Ismail berkata, polis menahan 612 individu kerana ingkar PKP dengan 590 individu direman, 337 dituduh di mahkamah dan 15 daripadanya dijamin polis.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 14 April 2020 sebanyak 9,702 individu,” katanya sambil memaklumkan hanya 97% rakyat Malaysia patuh kepada PKP, selebihnya masih ingkar.
Ismail turut berkata operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 1,871 operasi di 90 zon termasuk 26 zon merah.
Pantau harga keperluan asas
Ismail berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau bekalan dan harga bagi 25 jenis barang keperluan harian sepanjang PKP.
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa. Trend pembelian adalah normal dan tiada trend pembelian panik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, mesyuarat hari ini juga memutuskan bersetuju utuk membenarkan peniagaan atas talian sahaja dibuat sepanjang Ramadan dengan penghantaran ke rumah.
“E-bazar kita bincang tadi dan kita benarkan setakat ini ialah tempatan secara ‘online’ dan dihantar ke rumah.
“Terdapat juga pandangan supaya tempahan diambil di gerai-gerai dengan pandu lalu dicadangkan di Kabinet tapi kita minta supaya perkara ini terus diperhalusi, sebab wujudnya kebimbangan apabila konsep pandu lalu diperkenal.
“Terlalu banyak kenderaan yang keluar menggunakan alasan ingin mengambil makanan ditempah dan akan ada alasan baru diberikan individu ia akan menyukarkan tugas polis kerana lebih banyak alasan diberikan dan mereka sukar mematuhi PKP,” katanya.