
Jika sebelum ini Puteri Aishah, pelakon kanak-kanak, pengarah serta beberapa kru drama ‘Demi’ disahkan positif Covid-19, kini pelakon Ashraf Muslim pula menjadi mangsa seterusnya pandemik itu.
Ashraf menerusi postingnya di Instagramnya memaklumkan menerima berita sedih itu pada 12 April lalu.
Apa yang diharapkan Ashraf doa yang baik-baik daripada orang ramai agar dia diberi kesembuhan.
Selain itu, Ashraf juga mengharapkan masyarakat memanjatkan doa yang sama buat pesakit-pesakit yang senasib dengannya.
Ketika itu, Ashraf hanya mampu menahan sebak dan menerima keputusan yang di luar dugaan dengan penuh redha.
“Saya dijangkiti virus Covid-19. Sewaktu itu walaupun sebak di dada bila mendapat tahu jawapan tapi saya redha dgn pilihan Allah.. ada hikmah di sebaliknya.
“Datang perasaan nervous dan macam-macam perasaan timbul bila masuk dalam ambulans.. . (itu yang sampai berpeluh-peluh tu). Maafkan saya ahli keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan-rakanku.
“Dan please tolong doakan yang baik untuk saya dan pesakit-pesakit di sini dan juga kita semua, semoga Allah jauhkan wabak ini dan tidak berterusan lagi serta sihatkan kita semua,” kata Ashraf dalam entri yang dimuat naik di akaun Instagram peribadinya pada Rabu.
Dalam entri berkenaan, Ashraf juga memohon maaf kepada semua rakan wartawan yang berusaha menghubunginya sebelum ini bagi mendapatkan kepastian mengenai berita duka ini.
Kesempatan yang sama diambil Ashraf dengan merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan iaitu petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit-pesakit Covid-19 yang disifatkan mereka sebagai hero.
Tanpa memaklumkan di hospital mana dia dirawat, Ashraf, sebaliknya berkata, sepanjang dirawat di wad, dia berada dalam keadaan yang sihat serta berpeluang melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran.
“To mama, ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah sungguh-sungguh supaya clear dari Covid ini cepat yer.. supaya kita dapat jumpa ramai-ramai.
“Ayah rindu sangat.. tapi jangan risau yer ayah ok kat sini sihat dan boleh solat dan baca quran macam biasa. Sama-sama kita berprasangka baik pada Allah… hanya DIA yang berikan penyakit dan dari DIA jua yang memberikan kita kesembuhan.. Allahualam,” kata Ashraf lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]