
Seorang wanita menangis apabila disahkan negatif wabak Covid-19 pada ulang tahun hari lahir selepas berada 18 hari di hospital daerah Kota Banjar.
Menerusi laporan Detik News, Cinta Aditia, 22, menyifatkan ujian negatif Covid-19 hadiah paling indah buat dirinya.
Lebih indah dan bahagia apabila menerima kejutan kek hari lahir daripada petugas perubatan hospital tersebut.
Rakaman video menyambut ulang tahun hari lahirnya itu tular di laman sosial.
Rata-rata netizen teruja dan tersentuh apabila pesakit diraikan oleh petugas perubatan sedangkan mereka penat menjaga pesakit.
Video itu menunjukkan Cinta menangis apabila diminta untuk meniup lilin pada kek yang dipegang oleh petugas perubatan yang memakai pakaian khas (PPE).
“Ya, pada hari Ahad, sebelum saya menerima keputusan ujian swab dan akhirnya dibenarkan pulang, mereka sambut hari lahir saya,” kata Cinta kepada Detik News.
Dia mengucapkan terima kasih kepada para petugas perubatan di atas layanan mesra mereka sepanjang dirinya berada di hospital tersebut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]