
Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) berkata ramai yang terjejas teruk akibat PKP, di mana hanya perkhidmatan penting dan beberapa sektor yang diberi pengecualian untuk meneruskan operasi baru-baru ini.
Presiden Cassa, Jacob George berkata ramai pekerja diberhentikan sementara syarikat turut berdepan masalah untuk terus bertahan.
“Mereka terpaksa memberhentikan kakitangan dengan memberi mereka beberapa ratus ringgit sebagai pendahuluan,” katanya kepada FMT.
“Itu saja yang mereka mampu. Pekerja ini dari syarikat yang berbeza dan kini menuntut pampasan dari Jabatan Tenaga Kerja.”
Syarikat sendiri tidak dapat melangsaikan hutang mereka kerana banyak yang tidak menerima barang yang dipesan sebelum PKP berkuat kuasa, tambahnya.
Walaupun mereka menerimanya, katanya, satu-satunya barang yang mendapat permintaan pada masa ini adalah barang keperluan.
Sambil menambah syarikat insurans menjana keuntungan daripada pemilik kenderaan sejak sekian lama, beliau berkata sudah tiba masanya mereka menjalankan “khidmat masyarakat” dengan membantu golongan yang memerlukan.
Beliau menekankan tidak semua pemilik kenderaan patut diberi diskaun, hanya mereka yang terjejas teruk berikutan PKP.
“Ramai pemilik syarikat yang prihatin tentang bagaimana untuk bayar kakitangan dan penghutang mereka. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.
“Ia perkara yang serius,” tambahnya.
Beliau mencadangkan supaya syarikat insurans motor mencipta satu formula jumlah diskaun yang boleh mereka berikan.
“Kita tak mahu syarikat insuran motor jatuh muflis.
“Mereka tahu berapa banyak rizab yang mereka ada dan berapa banyak diskaun yang boleh mereka berikan.”
Di Malaysia, pemilik kenderaan wajib membeli insurans untuk memperbaharui cukai jalan mereka.
Sebahagian besar syarikat insurans am membenarkan moratorium 3 bulan terhadap premium kesihatan dan hayat dengan perlindungan penuh.