
Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong berkata, Sabah mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan itu.
“Waktu operasi perkhidmatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Kita melihat tempoh operasi ini mencukupi dan memadai. Kita mesti berbalik kepada tujuan asal PKP, iaitu untuk mengawal pergerakan,” katanya semalam mengulas perbezaan waktu operasi perniagaan serta perkhidmatan penting antara Sabah dan nasional sepanjang PKP.
Sebelum ini, Sabah antara lain memutuskan waktu operasi pasar raya, pergerakan kenderaan persendirian, pengangkutan awam, komersial dan stesen minyak bermula 6 pagi hingga 6 petang; pasar awam (6 pagi hingga 2 petang) serta industri kilang berasaskan makanan dan perubatan (8 pagi hingga 5 petang).
Safar berkata, keputusan berkaitan waktu operasi perniagaan dan perkhidmatan penting sepanjang PKP di negeri itu dibuat menerusi Pusat Arahan Covid-19 Sabah, yang ahlinya terdiri daripada setiausaha tetap kementerian negeri.
Katanya, kerajaan negeri tidak menghalang operasi mana-mana perkhidmatan penghantaran barangan penting, terutama keperluan makanan seperti ikan dan sayur-sayuran ke daerah yang memerlukan sepanjang PKP.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengusaha penghantaran barangan keperluan perlu menunjukkan surat kebenaran daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian bagi memudahkan perjalanan dari satu daerah ke daerah lain.
“Kita juga memohon semua pengusaha mematuhi prosedur operasi standard, termasuk masa dibenarkan beroperasi yang ditetapkan.”
Dalam perkembangan lain, Safar berkata, berdasarkan rekod harian, pematuhan PKP di Sabah meningkat sehingga hampir 98%.