KKM kesan kluster Covid-19 baru di Sendayan

KKM kesan kluster Covid-19 baru di Sendayan

Ia melibatkan 13 pelajar tahfiz, sekumpulan 15 individu dan 11 orang daripada sebuah keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan 1 kluster baru di Sendayan, Negeri Sembilan melibatkan sebuah maahad tahfiz.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini 39 kes positif Covid-19 dikesan di Sendayan melibatkan 13 orang pelajar tahfiz, sekumpulan 15 individu dan 11 orang daripada sebuah keluarga.

“Jadi ada penularan Covid-19 di Sendayan. Tindakan bersepadu telah dan sedang dilaksanakan pihak kami di lapangan bagi membendung penularan Covid-19 di Sendayan,” katanya dalam taklimat harian mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata setakat ini 28 kluster penularan virus itu dikesan di negara ini dengan kluster perhimpunan di Sri Petaling adalah yang terbesar.

“Selain kluster perhimpunan di Sri Petaling, kluster yang lain disifatkan masih kecil,” katanya.

Noor Hisham berkata di beberapa kawasan tertentu, terdapat potensi untuk Covid-19 merebak, justeru pihak kementerian terpaksa membendung penularannya di kawasan itu.

“PKPD perlu dilaksanakan bagi memastikan kita boleh menyaring kesemua mereka, mencari dan mengesan kes-kes positif. Tindakan perlu dilaksanakan. Untuk makluman, PKPD di Simpang Renggam dan Sungai Lui sebelum ini berjaya membendung penularan jangkitan virus itu.

“Ia sesuatu yang perlu tumpuan penuh dan kolaborasi dari polis dan tentera untuk menjayakan pelan tindakan ini,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.