Kes lebih 3,000, Singapura wajibkan pakai penutup hidung, mulut

Kes lebih 3,000, Singapura wajibkan pakai penutup hidung, mulut

Orang ramai dinasihatkan duduk di rumah semasa langkah pemutus litar selama sebulan dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Singapura selesai mengedarkan penutup hidung dan mulut yang boleh diguna semula pada Ahad. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura hari ini yang melaporkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 melebihi 3,000 memutuskan untuk mengambil langkah lebih tegas dengan mewajibkan semua orang di republik itu memakai penutup mulut dan hidung apabila keluar rumah.

Ia diumumkan Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai Covid-19, Lawrence Wong pada taklimat teknikal secara maya dan sidang media.

“Ia berkuat kuasa serta-merta,” kata Wong yang juga menteri Pembangunan Negara republik itu.

Dengan langkah baru itu, Wong menegaskan orang ramai masih dinasihatkan duduk di rumah dan mengelak dari keluar semasa langkah pemutus litar selama sebulan dilaksanakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Wong berkata pemakaian penutup hidung dan mulut adalah langkah pencegahan penting terutama pada orang yang dijangkiti yang mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala.

Singapura selesai mengedarkan penutup hidung dan mulut yang boleh diguna semula pada Ahad (12 April), iaitu peringkat ke-2 yang bermula pada 5 April manakala peringkat pertama dijalankan di negara kota itu dari 1 hingga 9 Feb.

Menurut Pasukan Petugas, pesalah kali pertama akan dikenakan kompaun S$300, pesalah berulang akan dikenakan denda lebih tinggi atau didakwa di mahkamah bagi kes yang lebih berat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata sejak 7 April, hari pertama pemutus litar dilancarkan, lebih 6,200 amaran dikeluarkan dan lebih 500 denda dikenakan terhadap individu yang melanggar jarakan selamat.

“Pegawai penguat kuasa memerhatikan pematuhan yang lebih baik dengan langkah jarakan selamat sepanjang minggu lepas. Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati,” kata Gan, yang juga pengerusi bersama pasukan petugas.

“Walaupun kenaikan jumlah kes setiap hari kebanyakannya disebabkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja, tetapi masih terdapat kes yang timbul dalam kalangan masyarakat termasuk di tempat kerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.