
Persatuan Peruncit Malaysia berkata, langkah itu selari dengan perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa pandemik itu merupakan darurat kesihatan awam di peringkat dunia.
Ia berkata, wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerajaan mengakibatkan “kesan ekonomi luar jangkaan” yang menggugat kemampuan syarikat memenuhi obligasi kontrak mereka.
“Tidak adil sekiranya syarikat dipertanggungjawabkan ke atas kegagalan memenuhi obligasi mereka dan terpaksa membayar kerugian atau melepaskan deposit masing-masing, selain berdepan kemungkinan disaman, litigasi undang-undang yang panjang atau pun kebankrapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perisytiharan force majeure akan menawarkan kelonggaran sementara ke atas aliran tunai syarikat, yang jika sebaliknya terpaksa membayar kerugian atau berdepan risiko deposit atau aset mereka dilucut hak.
Force majeure, sama seperti perisytiharan bencana alam, adalah klausa undang-undang yang mengiktiraf pihak yang terbabit dalam satu-satu kontrak terhalang dala menunaikan obligasi mereka susulan hal keadaan di luar jangkaan.
Persatuan itu berkata, kerajaan Singapura mengambil langkah sama apabila menteri undang-undang republik itu berkata awal bulan ini bahawa ia akan memperkenalkan undang-undang baru bagi melindungi pihak yang tidak dapat menunaikan obligasi kontrak mereka kerana pandemic tersebut.