
Miti berkata sejak permohonan untuk syarikat meneruskan operasi dibuka pada jam 9.00 pagi hari ini, aliran trafik ke portal kementerian itu mengalami peningkatan mendadak sehingga mencecah 176,000 pengguna dalam masa 2 jam pertama.
“Miti mendapati majoriti pelawat ini bukan syarikat tetapi individu yang mengakses portal Miti.
“Jumlah pelawat yang terlalu tinggi ini adalah tidak selari dengan jumlah syarikat dalam sektor yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Miti berkata disebabkan itu kementeriannya akan mengkonfigurasikan semula sistem permohonan bagi memastikan hanya syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja boleh mengakses sistem permohonan tersebut.
“Miti ingin mengingatkan syarikat-syarikat yang sedang membuat pendaftaran untuk memastikan maklumat syarikat mereka disimpan sebelum jam 2.00 petang.
“Pada jam 4 petang akan kembali berfungsi melalui laman web Miti, https://application.miti.gov.my,” katanya.
Pada 10 April lalu, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.
Antaranya, salun dan kedai gunting rambut hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan hanya kedai dobi perkhidmatan penuh boleh beroperasi, bukannya kedai dobi layan diri.
Bagaimanapun, semua syarikat dalam sektor tambahan itu hanya boleh memulakan perniagaan selepas mendapat kelulusan Miti.