
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin setelah mendengar pandangan pelbagai pihak.
“Kerajaan juga menerima nasihat daripada pakar tertentu dan mendengar pandangan NGO, sehubungan itu perdana menteri membuat keputusan bahawa operasi kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan sepanjang PKP,” katanya pada sidang media harian hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu berkuat kuasa seluruh negara.
Semalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, ia akan meneliti dan memperhalusi pandangan yang disuarakan oleh rakyat berhubung langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi dalam tempoh penguatkuasaan PKP.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan supaya kerajaan menangguhkan sementara langkah membenarkan kedai gunting rambut beroperasi ketika PKP yang kini dilanjutkan sehingga 28 April depan.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat susulan lanjutan PKP.
Antaranya, salun dan kedai gunting rambut yang hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan kedai dobi perkhidmatan penuh, bukan kedai dobi layan diri.
Bagaimanapun, semua syarikat dalam sektor tambahan itu boleh memulakan perniagaan hanya selepas mendapat kelulusan Miti.
Dalam sidang media sama Ismail berkata, keputusan mesyuarat menteri-menteri bersama pihak berkepentingan dalam mendepani Covid-19 hari ini turut memuktamadkan beberapa isu berbangkit, termasuk langkah tidak membenarkan operasi bazar Ramadan sepanjang PKP.
KPT jamin kebajikan pelajar di kampus universiti
Kerajaan juga memutuskan supaya semua pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk kekal berada di kampus sepanjang PKP.
“Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan.
“Semua keputusan ini diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan Covid-19 dan apa juga pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta polis dalam memastikan rakyat mematuhi PKP bagi mengurangkan pergerakan orang ramai,”katanya.
Tiada pencerobohan di pintu sempadan
Ismail berkata, sehingga kini kawalan di pintu sempadan diperketat, termasuk lorong tikus yang digunakan pendatang asing.
“Pihak polis, tentera, imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bertindak tegas dalam mengawal sempadan.
“Setakat ini tiada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) dikesan dan kawalan terus dipertingkat bagi memastikan orang luar tidak menceroboh ke negara ini,” katanya.
Berhubung keadaan rakyat Malaysia di luar negara yang ingin pulang, Ismail berkata, mereka dinasihatkan supaya menghubungi kedutaan terdekat.
Katanya, kos penerbangan akan ditanggung sendiri individu terlibat dan penerbangan khas untuk pulang akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa negara terlibat.
“Sekiranya pihak kerajaan diberi kebenaran untuk membawa pulang rakyat Malaysia, kos membawa pulang perlu ditanggung oleh individu terbabit dan penerbangan khas pulang akan diuruskan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Polis tahan 1,471 individu ingkar PKP
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, polis menahan 1,471 individu kerana ingkar PKP, dengan 949 dikenakan kompaun RM1,000 semalam.
Beliau berkata, 503 individu direman dan 19 diberikan jaminan polis.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 12 April 2020 sebanyak 8,647 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 3,105,” katanya sambil memaklumkan 97% rakyat patuh PKP setakat ini.
Ismail berkata, operasi sanitasi awam di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melakukan 1,527 operasi di 89 zon, termasuk 26 zon merah.