
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan menangani kemungkinan kenaikan harga oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan.
“Keputusan mesyuarat hari ini, seperti biasa kawalan ini akan dilaksanakan pada musim perayaan. Tetapi tak perlu tunggu perayaan akan laksanakan masuk PKP fasa 3.
“Skim ini mesti dilaksankaan dan senarai barang akan diumumkan oleh KPDNHEP untuk pastikan tak ada kenaikan harga walaupun PKP diteruskan,” katanya pada sidang media harian selepas mesyuarat khas menteri dan pihak terlibat dalam mendepani penularan wabak Covid-19 hari ini.
Pada 5 April, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menyokong penuh langkah kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati ketika tempoh PKP.
Presidennya, Jacob George berkata, tindakan itu tepat pada masanya selepas mendakwa wujud “tangan hitam” yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang penting ketika ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan harian sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.
Katanya, KPDNHEP menjalankan pemeriksaan khas barang keperluan harian di seluruh negara bagi menentukan tahap keberadaan 25 jenis barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran.
“(Setakat) semalam, pemantauan khas dilaksanakan melalui 1,205 pemeriksaan melibatkan peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.
“Daripada pemeriksaan di premis runcit, hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil, iaitu kedudukan keberadaan bekalan mencukupi, termasuk bekalan topeng dan pensanitasi,” katanya.
Ismail berkata, KPDNHEP menerima sejumlah 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga dari 18 Mac sehingga semalam.
“4 saluran utama iaitu WhatsApp – 4,140, sistem E-Aduan – 1,766, talian Hotline – 1,631 dan talian melalui Enforcement Command Center – 608,” katanya.
Polis tahan 1,220 individu ingkar PKP
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, polis menahan 1,220 individu kerana ingkar PKP, dengan 854 dikenakan kompaun RM1,000.
Beliau berkata, 345 individu direman dan 21 diberikan jaminan polis.
“Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 2,156,” katanya.
Ismail berkata, polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan 783 sekatan jalan raya di seluruh negara, dan memeriksa 435,361 kenderaan.
Katanya, 48,123 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan 6,158 premis diperiksa oleh pihak berkuasa.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga semalam adalah 8,125 individu,” kataya.
Operasi sanitasi awam Covid-19
Ismail berkata, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu melibatkan 1,413 operasi di 89 zon, termasuk di 25 zon merah.
Beliau berkata, antara kawasan yang disanitasi, 987 bangunan kerajaan, 602 tempat awam, 599 pusat perniagaan dan 115 pasar raya.
“Semalam sebanyak 122 operasi sanitasi dijalankan meliputi 51 zon di 13 negeri, termasuk 38 kawasan di Johor dan 23 kawasan di Pahang.
103 bangunan kerajaan, 37 tempat awam, 71 pusat perniagaan dan 8 pasar raya disanitasi.
“Semalam juga 1 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 17 kawasan guna sama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor dinyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 38 PPR selesai disanitasi melibatkan 37,686 unit rumah,” katanya.
Pengurusan pusat kuarantin
Ismail berkata setakat semalam, 163 pusat kuarantin beroperasi berbanding 156 pada hari sebelumnya, dengan 12,359 individu menjalani proses kuarantin wajib.
Beliau berkata, semalam 835 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikenakan perintah kuarantin wajib.
“Saya ingin mengulangi bahawa kuarantin wajib tetap dilaksanakan ke atas semua rakyat Malaysia yang masuk ke negara ini melalui pintu masuk antarabangsa darat, laut dan udara di seluruh negara.
“Sebagai contoh pintu masuk antarabangsa melalui jalan darat di Padang Besar, Perlis dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Begitu juga kemasukan melalui jalan laut seperti di Terminal Feri Stulang Laut, Johor dan Terminal Feri Sandakan di Sabah,” katanya.
Ismail berkata, pelaksanaan kuarantin wajib adalah sama seperti yang dikenakan ke atas rakyat dan warga asing yang masuk ke negara ini melalui udara seperti melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa KKIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Beliau berkata, pusat kuarantin disediakan di semua pintu masuk antarabangsa, dan mereka akan disaring sebelum di kuarantin wajib.
Bekalan makanan basah dan kering mencukupi
Ismail berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) juga memaklumkan kepada mesyuarat hari ini bahawa bekalan makanan basah dan kering, terutamanya beras adalah lebih daripada mencukupi.
Katanya, walaupun PKP diteruskan orang ramai tidak perlu bimbang. dan tidak perlu melakukan pembelian panik.
Talian bantuan
Ismail berkata, kerajaan mengambil maklumtentang isu-isu yang mungkin menjejaskan keharmonian rumah tangga dalam tempoh ini.
Katanya, dalam usaha menangani kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) dengan kerjasama PDRM mewujudkan talian khas bagi membantu mangsa.
“Bagi mereka yang memerlukan bantuan diminta menghubungi Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-261 5999. Polis juga akan mengambil tindakan segera,” katanya.
Bantuan bekalan makanan
Ismail berkata sepanjang tempoh PKP, penyaluran bantuan dalam bentuk bakul makanan telah disalurkan kepada 225,871 isi rumah.
Beliau berkata, jumlah bantuan ini memberi manfaat kepada hampir sejuta rakyat Malaysia.
“Proses bantuan ini masih diteruskan oleh kerajaan.
“Di zon perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, Selangor, sebanyak 1,000 bakul makanan dihantar kepada 750 keluarga,” katanya.