
Migrant Care Malaysia berkata, pekerja migran dan keluarga mereka terkurung di lokasi tertentu tanpa cara dan sumber untuk mendapatkan makanan dan barangan keperluan berikutan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Penyelaras kumpulan itu, Alex Ong berkata, sukarelawan mereka kerap dihalang oleh pihak berkuasa dalam perjalanan mereka untuk menyampaikan bantuan bekalan makanan dan barang keperluan.
“Ini berlaku walaupun mereka membawa surat makluman rasmi daripada Kedutaan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong berkata, sukarelawan terbabit keberatan untuk mendedahkan arah tujuan mereka kerana sesetengah komuniti migran bimbang pihak berkuasa akan membuat pemeriksaan dan menghantar mereka pulang.
Beliau meminta supaya sukarelawan diberikan laluan selamat untuk mengagihkan makanan dan bekalan barang keperluan kepada komuniti migran di Lembah Klang.
Pada 1 April, kerajaan membenarkan badan kebajikan dan kumpulan lain mengagihkan makanan kepada golongan memerlukan, tetapi berkata mereka perlu mematuhi garis panduan tertentu seperti memakai topeng dan sarung tangan, selain mengekalkan jarak sosial.