
Gara-gara Covid-19 banyak perniagaan terpaksa gulung tikar kerana mengalami kerugian disebabkan arahan “lockdown”.
Namun terdapat satu perniagaan yang dilihat meraih pendapatan lumayan di saat yang lain dirundung kerugian iaitu penjualan topeng hidung dan mulut serta sanitizer.
Ini kerana topeng semakin mendapat permintaan paling tinggi ketika ini atas dasar untuk melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.
Meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi kenyataan pemakaian topeng muka di tempat awam tidak akan menghalang individu yang sihat daripada dijangkiti virus ini tetapi, pemakaian topeng boleh menghentikan pesakit positif Covid-19 daripada menjangkiti orang lain.
Langkah terbaik buat masa ini ialah elakkan sebaik mungkin untuk berada di kawasan awam.
Namun pernahkah anda pernah terfikir bagaimana pula nasib golongan OKU yang kurang pendengaran?

Golongan ini masih mampu memahami perbualan dengan melihat gerak bibir orang lain.
Sehubungan itu topeng yang menutup bahagian mulut akan menyukarkan golongan ini “membaca” gerak mulut yang dikeluarkan.
Perkara ini pasti menyukarkan golongan kurang pendengaran ini untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerana rata-rata petugas perubatan dan doktor memakai topeng muka yang biasa.
Mereka juga bakal menghadapi masalah komunikasi antara pihak perubatan.
Bagaimanapun usaha seorang remaja Ashley Lawrence dari Amerika Syarikat berjaya mencipta topeng mesra OKU.
Ashley membolehkan topeng ciptaannya dipakai oleh golongan kurang pendengaran dan masih membenarkan golongan ini memahami percakapan dengan orang normal.
Topeng biasa diubahsuai dan diletakkan “tingkap kecil” diperbuat daripada plastik di tengah-tengah.
Pada mulanya, Ashley menggunakan sepenuhnya dana persendirian untuk menghasilkan topeng mesra OKU dalam kuantiti yang kecil.

Kini, beliau sedang mengumpul dana secara dalam talian atas nama GoFundMe.
Topeng ini kemudiannya diedarkan secara percuma kepada golongan OKU dalam usaha membantu meringankan beban dan memahami kekurangan yang dihadapi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]