
Setiausaha akhbar Mukhriz, Mohd Fisol Jaafar berkata, kampung itu hanya mempunyai kira-kira 165 penduduk, bukannya 500 orang dan barang keperluan asas sudah diserahkan kepada keluarga memerlukan sejak PKP dilaksanakan bulan lalu.
“Hasil semakan dengan Pejabat Daerah Padang Terap, bantuan keperluan barangan asas seperti beras dan gula telah disalurkan. Hampir kesemua yang memerlukan telah diberi bantuan.
“Pemantauan diteruskan dan bantuan keperluan akan disalurkan bila perlu,” katanya kepada FMT hari ini.
Terdahulu, FMT melaporkan 500 penduduk Kampung Lebai Saman di Kuala Nerang mendakwa sukar meneruskan kehidupan akibat PKP kerana 90% daripada mereka ialah penoreh getah bergaji harian.
Seorang penduduk, Mohd Amin Yaakob dipetik sebagai berkata, rata-rata penduduk berdepan keadaan yang cukup getir, termasuk tiada punca pendapatan kerana 90% daripada mereka bekerja sebagai penoreh getah dan menerima gaji harian.
Amin yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 Shah Alam mendakwa penduduk susah mendapat makanan kerana sumbangan pihak atasan, termasuk daripada ahli politik tidak sampai kepada mereka.
Fisol berkata, walaupun kampung itu terletak di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional, kerajaan Kedah tetap membantu mereka.
Selain bantuan kerajaan, katanya, NGO dan parti politik turut menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung itu.
“Penduduk yang layak boleh memohon bantuan kewangan yang diumumkan kerajaan negeri. Jadi, tidak ada masalah.”