KP kesihatan saran tangguh operasi kedai gunting rambut

KP kesihatan saran tangguh operasi kedai gunting rambut

Dr Noor Hisham Abdullah menggesa kerajaan menangguhkan keputusan membenarkan kedai gunting rambut meneruskan operasi pada PKP fasa ke-3.

Noor Hisham Abdullah turut menggesa Putrajaya memberi tempoh seminggu kepada KKM mengkaji data jangkitan Covid-19 sebelum membenarkan lebih 80,000 pelajar IPT pulang ke kampung.
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menyarankan kerajaan menangguhkan sementara keputusan membenarkan kedai gunting rambut beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Beliau mencadangkan Putrajaya mengekalkan sekatan ke atas pergerakan rakyat dan perniagaan yang dilaksanakan ketika PKP fasa 1 dan 2 kerana ia berjaya mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19.

“Saya pasti ramai rakyat Malaysia terkesan dengan PKP. Apa yang penting ialah kita sedang berjuang memerangi Covid-19. Kita masih belum menang, tetapi tindakan kita selama ini sepanjang PKP dikuatkuasakan dapat tanda kejayaan menurunkan kes.

“Kalau kita lihat semula, semua tindakan kita seharusnya diperketatkan untuk fasa ke-3. Dari segi perancangan untuk buka (kedai gunting rambut) atau hadkan pergerakan, KKM (Kementerian Kesihatan) mengesyorkan kekalkan tindakan dilaksanakan pada fasa 1 dan 2,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

“Mungkin perancangan boleh dijalankan, tetapi pelaksanaan ditangguhkan sementara,” katanya menjawab pertanyaan wartawan berhubung keputusan kerajaan membenarkan salun dan kedai gunting rambut meneruskan operasi ketika PKP fasa ke-3.

Antara sekatan yang dilaksanakan pada PKP fasa 1 dan 2 termasuk kawalan sempadan dan pergerakan, larangan berhimpun atau mengadakan kenduri serta penjarakan sosial 1m.

Semalam, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Sektor itu termasuk kedai perkakasan, barangan elektrik dan elektronik, cermin mata, industri mesin dan peralatan, aeroangkasa serta industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan).

Salun dan kedai gunting rambut hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan hanya kedai dobi perkhidmatan penuh boleh beroperasi, bukannya kedai dobi layan diri.

Sektor lain ialah perkhidmatan sains, profesional dan teknikal, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) (hanya terhad kepada perkhidmatan berkaitan guaman, perkhidmatan berkaitan minyak & gas, aktiviti R&D berkaitan Covid-19, makmal ujian bagi sektor dibenarkan beroperasi saja), perkhidmatan kesihatan sosial, termasuk perubatan tradisional berdaftar (hanya terhad kepada Perubatan Tradisional dan Komplemantari berdaftar atau pengamal TCM) serta projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan.

Bagaimanapun, semua syarikat dalam sektor tambahan itu hanya boleh memulakan perniagaan selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Pelajar IPT di kampus

Hisham meminta kerajaan memberi tempoh seminggu kepada pihaknya untuk menilai data kes jangkitan Covid-19 sebelum membenarkan pelajar yang masih tinggal di kampus institusi pengajian tinggi pulang ke kampung.

“Kita akan berjaya sekiranya rakyat bersama KKM memastikan kita perketat (PKP) fasa ke-3 untuk kurangkan kes, tidak mustahil kita akan berjaya atas usaha bersama.

“Cadangan kita (ialah) bersabar. Mungkin dalam seminggu dua ini, kita lihat data terkini.”

Terdahulu, Menteri kanan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, KKM akan meneliti sebarang keputusan membenarkan pelajar di kampus pulang ke kampung masing-masing kerana ia akan membabitkan pergerakan sejumlah besar pelajar.

Setakat ini, katanya, lebih 80,000 pelajar IPTA dan IPTS masih tinggal di kampus dan kolej sejak PKP bermula 18 Mac lalu, data itu tidak termasuk pelajar yang tinggal di rumah sewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.