Korea Selatan timbang guna gelang elektronik ke atas pengingkar perintah isolasi

Korea Selatan timbang guna gelang elektronik ke atas pengingkar perintah isolasi

Langkah Korea Selatan menimbangkan penggunaan gelang elektronik adalah berikutan peningkatan jumlah kes individu melanggar perintah isolasi.

Kajian Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan mendapati 80.2% rakyat menyokong idea penggunaan peranti elektronik bagi memantau individu yang dikenakan perintah kuarantin kendiri. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Korea Selatan berkata ia akan menimbangkan penggunaan gelang elektronik ke atas pengingkar perintah isolasi bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara itu, lapor agensi berita Yonhap.

Perdana Menteri Chung Sye-Kun berkata, kerajaan akan memerintahkan pengingkar perintah isolasi memakai gelang berkenaan berikutan peningkatan jumlah kes individu melanggar perintah isolasi itu.

“Setelah menimbangkannya dengan teliti, kerajaan memutuskan untuk mengernakan perintah pemakaian gelang elektronik ke atas individu yang melanggar arahan isolasi kendiri, seperti keluar rumah tanpa notis dan tidak menjawab panggilan telefon,” katanya pada mesyuarat Pusat Bencana dan Keselamatan di Seoul pada Sabtu, kata laporan itu.

“Kami meneliti pandangan pakar kuarantin dan pendapat daripada pelbagai komuniti,” katanya.

Dalam kajian terbaru ke atas 1,000 individu dewasa dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan negara itu, 80.2% rakyat menyokong idea penggunaan peranti elektronik bagi memantau individu yang dikenakan perintah kuarantin kendiri.

Bagaimanapun ada yang berpendapat langkah itu mungkin melanggar hak asasi manusia.

Gelang elektronik itu mengesan pergerakan pemakainya melalui telefon bimbit mereka. Kerajaan Korea Selatan kini menggunakan aplikasi mudah alih untuk memantau individu yang dikenakan perintah kuarantin kendiri.

Setakat Khamis, lebih 45,000 orang dikenakan perintah kuarantin kendiri. Lebih 160 individu dikesan melanggar perintah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.