
Mohd Akmal Kamarudin berkata, pencemaran itu berpunca daripada kecuaian 2 pekerja di sebuah kilang sarung tangan getah yang terlupa menutup satu injap tangki simpanan.
“Berdasarkan laporan awal yang kita terima, apa yang kita lihat di sungai itu sebenarnya bukanlah sisa buangan, tetapi bahan mentah getah.
“Ketika proses menurunkan bahan mentah daripada lori ke tangki kilang, mereka (pekerja) terlupa menutup injap dan mengakibatkan tertumpah bahan mentah berkenaan,” katanya selepas meninjau kilang itu hari ini.
Terdahulu, seorang pemancing yang hanya dikenali sebagai “Asri Janggut” merakam gambar Sungai Meru bertukar warna dan berbuih.
Beliau mendakwa perkara itu berlaku selama 20 tahun tanpa tindakan daripada pihak berkuasa.
Hari ini, Akmal yang juga pemangku pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, berkata terdapat ketulan getah ditemui dalam sungai itu yang menunjukkan pembuangan tidak disengajakan.
Katanya, kilang itu mungkin melakukan kesalahan kerana tidak memaklumkan Jabatan Alam Sekitar mengenai tumpahan berkenaan dan hanya berbuat demikian pada lewat malam semalam yang bertentangan prosedur operasi standard.
Berhubung dakwaan sungai itu dicemari sekurang-kurangnya 2 kali setahun dengan warna berbeza, Akmal berkata, perlu ada bukti untuk menyokong dakwaan itu.
“Kita sudah mengarahkan pihak kilang bertindak segera untuk membersihkan sepanjang sungai tercemar yang dianggarkan lebih 1km.”