MMA sokong kerajaan lanjut PKP, benarkan operasi sektor terpilih

MMA sokong kerajaan lanjut PKP, benarkan operasi sektor terpilih

MMA juga gembira dengan isu bekalan PPE kepada barisan depan sudah ditangani.

MMA merayu orang ramai memberi sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan dengan mematuhi PKP sepenuhnya.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong keputusan kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama 2 minggu lagi demi “kepentingan semua rakyat Malaysia”.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran juga bersetuju dengan keputusan Putrajaya membenarkan sektor terpilih meneruskan operasi di bawah syarat dan garis panduan ketat daripada Kementerian Kesihatan serta kementerian berkaitan lain.

Petang tadi, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini untuk membendung penularan Covid-19, sejajar pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menentang pembatalan PKP terlalu awal.

Sesetengah industri dan perkhidmatan turut dibenarkan beroperasi, tertakluk kepada syarat ketat.

“Melihat kepada data kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini, Kementerian Kesihatan melakukan dengan baik menerusi langkah yang diambil untuk mengawal penularan jangkitan itu,” kata Ganabaskaran.

“PKP berkesan dalam menurunkan jangkitan kepada 1% seperti dinyatakan ketua pengarah kesihatan kita,” katanya sambil menambah terdapat kemajuan dalam mendatarkan lengkung.

Ganabaskaran berkata, MMA juga gembira dengan isu bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada barisan depan sudah ditangani.

“Kami merayu orang ramai memberi sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan dengan mematuhi PKP sepenuhnya dan garis panduan kementerian itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.