Hakim benar tarikh baru untuk penghujahan dalam perbicaraan SRC Najib

Hakim benar tarikh baru untuk penghujahan dalam perbicaraan SRC Najib

Penghujahan lisan pada penghujung kes pembelaan ditetap selama 3 hari bermula 8 Mei depan.

Bekas perdana menteri Najib Razak.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menjadual semula tarikh penghujahan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang SRC International membabitkan Najib Razak susulan halangan dihadapi pihak pembelaan untuk mengadakan pertemuan dan membuat penyelidikan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang.

Dalam satu e-mel kepada pihak terbabit pada 3 April, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk meminda sesi penghujahan lisan dan bertulis ke tarikh baru.

Mahkamah juga membenarkan pihak pembelaan memfailkan penghujahan bertulisnya selewat-selewatnya pada 28 April, sementara jawapan balas pihak pendakwaan terhadap penghujahan pembelaan pada 12 Mei.

Nazlan menetapkan tarikh penghujahan lisan selama 3 hari bermula pada 18 Mei, yang jatuh pada bulan puasa.

Pegawai daripada Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh asal penghujahan lisan pada 12 dan 15 Mei kini dikosongkan.

FMT difahamkan bahawa ketua pasukan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah menulis surat memohon lanjutan itu pada 1 April kepada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyuddin Mohd Som.

Pembelaan bekas perdana menteri itu tamat pada 11 Mac berikutan perbicaraan selama 33 hari.

19 saksi dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali; bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad dan bekas menteri, Anifah Aman serta Jamil Khir Baharom.

Selain Shafee, Najib diwakili oleh peguam Harvinderjit Singh dan Farhan Read.

Pendakwa raya ad-hoc V Sithambaram mengetuai pasukan pendakwa bersama-sama timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Muhammad Izzat Fauzan dan Donald Joseph Franklin.

Pada 11 November, Nazlan mengarahkan Najib memfailkan pembelaan setelah pendakwa berjaya mengemukakan keterangan bagi membuktikan setiap kesalahan yang didakwa.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen Diperbadankan.

Beliau juga berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang dan 3 pecah amanah jenayah melibatkan pindahan wang berjumlah RM42 juta daripada bekas unit milik 1MDB ke akaunnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.