Capaian internet di Malaysia meningkat 90%

Capaian internet di Malaysia meningkat 90%

Aktiviti paling popular dalam kalangan pengguna internet adalah menyertai rangkaian sosial (97.1%).

Capaian isi rumah kepada internet meningkat 3.1% mata kepada 90.1% pada 2019 berbanding 87.0% pada 2018.
PETALING JAYA:
Lebih 90% isi rumah di Malaysia mempunyai akses internet, menurut statistik rasmi terkini kerana berjuta-juta rakyat “terpaku” pada peranti mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Berdasarkan kajian penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isi rumah yang dijalankan jabatan perangkaan mendapati capaian isi rumah kepada internet meningkat 3.1% mata kepada 90.1% pada 2019 berbanding 87.0% pada 2018.

Ketua Perangkaan, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peratus penggunaan internet di Malaysia turut meningkat kepada 84.2% pada 2019 berbanding 81.2% pada 2018.

“Sementara itu peratusan capaian telefon bimbit kekal pada 98.2% pada 2019. Manakala peratusan capaian isi rumah kepada komputer menurun kepada 71.3% pada 2019 berbanding 71.7% pada 2018.

“Statistik penggunaan dan capaian ICT oleh individu dan isi rumah adalah input penting dalam merancang, membentuk dan menilai dasar dan strategi pembangunan ICT negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Uzir berkata aktiviti paling popular dalam kalangan pengguna internet adalah menyertai rangkaian sosial (97.1%).

Sementara aktiviti popular lain termasuk memuat turun gambar, filem, video atau muzik; bermain atau memuat turun permainan (84.7%), mendapatkan maklumat tentang barangan atau perkhidmatan (83.5%), membuat panggilan telefon melalui internet (77.4%) dan memuat turun perisian atau aplikasi (77.1%).

Analisis pengguna internet mengikut kumpulan umur menunjukkan individu berusia 20 hingga 24 tahun cenderung menggunakan internet untuk mencari pekerjaan (49.5%) dan menonton televisyen secara atas talian (56.3%).

Kumpulan berusia 25 hingga 29 tahun lebih memilih aktiviti perbankan internet (61.5%) dan membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang (45.1%).

Manakala individu dalam lingkungan usia 35 hingga 39 tahun lebih aktif dalam aktiviti menggunakan perkhidmatan berkaitan perjalanan atau penginapan perjalanan (32.6%).

Sementara kelompok berusia antara 45 hingga 49 tahun pula berminat dengan aktiviti mengemukakan pendapat atau mengundi mengenai isu politik atau sivik (21.1%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.