
Awal tahun lalu, ketika peringkat awal bermulanya jangkitan Covid-19 di Wuhan, China banyak pihak melaporkan bahawa tidak ada sebarang bukti menunjukkan haiwan peliharaan mampu menjadi hos kepada virus tersebut.
Malangnya, selepas hampir 4 bulan kita semua berdepan penyakit ini, wujud pula bukti-bukti yang menunjukkan jangkitan bukan hanya berlaku daripada manusia ke manusia, malahan boleh juga berpindah daripada manusia ke haiwan.
Fenomena ini yang diistilahkan sebagai “reverse zoonoses” merupakan sesuatu yang memang sudah diketahui berlaku melibatkan virus, tetapi agak mengejutkan kerana pengkaji tidak menyangka virus SARS-CoV-2 mempunyai kemampuan sedemikian.
Berikut 4 kes jangkitan terawal melibatkan haiwan, yang didapati berlaku di seluruh dunia membuatkan penyelidik di seluruh dunia terkesima.
Kes pertama jangkitan haiwan di dunia
Pada 5 Mac 2020, pihak berkuasa Hong Kong melaporkan tentang penemuan jangkitan Covid-19 tidak kuat pada seekor anjing daripada baka pomeranian, dipercayai dijangkiti daripada tuannya seorang wanita berusia 60 tahun.
Kes itu merupakan kes pertama jangkitan Covid-19 ditemui pada haiwan, khasnya anjing.
Anjing itu pula dilaporkan tidak menampakkan sebarang tanda sakit, sebaliknya kelihatan sihat seperti biasa.
Disebabkan positif jangkitan, anjing itu terpaksa dikurung di pusat kuarantin sejak 26 Februari.
Selepas dibenarkan pulang ke pangkuan tuannya, anjing itu yang berusia 17 tahun meninggal dunia.
Setakat ini kematiannya dipercayai disebabkan oleh kemurungan terkurung sendirian tanpa tuan.
Pihak perubatan Hong Kong gagal mendapatkan kebenaran wanita itu yang telahpun pulih, untuk menjalankan autopsi bagi mengenalpasti punca kematian.
Anjing turut menjadi kes kedua
Selepas kes pertama melibatkan anjing yang positif jangkitan Covid-19, kes kedua melibatkan haiwan sama dilaporkan pada 20 Mac 2020.
Kali ini melibatkan seekor anjing dari baka German Shepherd selepas anjing itu dipercayai dijangkiti virus daripada tuannya.
Disebabkan penemuan itu, kedua-dua anjing yang ada di rumah tersebut di hantar ke pusat kuarantin termasuk seekor lagi anjing kacukan yang berusia 4 tahun.
Hanya anjing German Sherpherd yang berusia 2 tahun itu positif Covid-19 tetapi tetap tidak menampakkan sebarang simptom jangkitan.
Kucing pula jadi mangsa kerakusan virus

Dalam kes jangkitan Covid-19 pertama melibatkan haiwan comel kucing di Belgium, dilaporkan pada penghujung bulan Mac mengalami masalah pernafasan dan cirit-birit.
Kajian yang dijalankan ke atas sampel najis kucing itu mendapati wujudnya genome virus SARS-CoV-2 pada najisnya, menunjukkan ada kemungkinan virus itu mula mempunyai kemampuan menjangkiti kucing.
Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas tuan punya kucing itu pulang daripada melancong di Itali dan disahkan menghidap Covid-19.
Bimbang dengan situasi yang dihadapi, tuan punya kucing itu memberikan kerjasama menghantar sampel kajian kepada Fakulti Perubatan Veterinar di Liege.
Hasil kajian mendapati najis kucing itu mempunyai kandungan genome virus yang tinggi. Nasib baiklah kucing itu pulih selepas 9 hari jangkitan direkodkan bermula.
Harimau Malaya mendapat jangkitan dipercayai daripada manusia

Jangkitan terbaru setakat ini melibatkan harimau bernama Nadia, seekor harimau Malaya yang ditempatkan di Zoo Bronx New York.
Kes ini mencatat rekod sebagai kes pertama jangkitan Covid-19 ditemui bukan pada haiwan domestik dan yang pertama di Amerika Syarikat melibatkan haiwan.
Sama seperti kucing yang dijangkiti di Belgium, Nadia mula menampakkan tanda jangkitan, mengalami batuk kering dan masalah pernafasan.
Jangkitan yang berlaku dipercayai bermula daripada salah seorang pekerja zoo yang dijangkiti tetapi tidak menampakkan sebarang simptom wujud jangkitan.
Selain Nadia, 2 lagi harimau Siberia dan 3 ekor singa Afrika sudah mula menunjukkan simptom awal jangkitan Covid-19 tetapi setakat ini, hanya Nadia saja disahkan positif jangkitan.
Perubahan pandangan WHO
Selaku badan utama kesihatan dunia, WHO sejak mula direkodkan menyebut risiko untuk berlakunya jangkitan kepada haiwan khasnya haiwan domestik, seperti kucing, anjing dan haiwan peliharaan lain tidak boleh berlaku disebabkan oleh ketiadaan bukti ia benar-benar boleh berlaku.
Bagaimanapun, pendapat itu ditarik balik WHO sendiri selepas World Organisation for Animal Health atau OIE mengeluarkan kenyataan, membenarkan kemungkinan berlakunya penyebaran virus daripada manusia kepada haiwan berdasarkan kepada kes-kes yang telah berlaku di Hong Kong.
Laman web WHO yang pada awalnya memaparkan penjelasan tiada risiko jangkitan melibatkan haiwan didapati telah dikemaskini.
Kenyataan awal dipadamkan seiring dengan penemuan-penemuan dan insiden baru yang berlaku.
Dua persoalan penting yang perlu kita perjelaskan segera sebelum terlewat, adakah haiwan yang dijangkiti mampu menjangkitkan virus kepada haiwan lain dan yang lebih penting, adakah haiwan domestik atau haiwan liar, mampu menjangkitkan virus kembali kepada manusia lain?
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]