Majikan nekad bayar gaji penuh pekerja walau untung, masa operasi berkurang

Majikan nekad bayar gaji penuh pekerja walau untung, masa operasi berkurang

Perniagaaan bengkel motosikal terkesan operasi perniagaan hanya 5 jam sepanjang PKP

Bengkel motor Kamarulzaman beroperasi dari 9 pagi hingga 2 petang ketika PKP.
PETALING JAYA:
Mohd Osman Abdul Wahab dan mekaniknya sibuk membaiki 5 motosikal. Mereka berlumba dengan masa untuk menyiapkannya sebelum jam 2 petang.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) menetapkan mereka mesti berhenti dan menutup bengkel untuk hari itu sebaik jam 2 petang.

Terletak tidak jauh dari depoh LRT Lembah Subang, Kamarulzaman Motor adalah bengkel membaiki motosikal usang terletak di laluan yang pecah dan berlubang di belakang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai di Petaling Jaya.

Blok pangsapuri itu, walaupun dipenuhi keluarga yang kini berkurung, sunyi sepi.

Tetapi di bengkel itu, bunyi ngauman pemampat udara menggelamkan bukan sahaja perbualan, bahkan juga bunyi motosikal yang disorong masuk dan keluar.

Blok pangsapuri yang besar tidak mampu memberi teduhan, dan bengkel yang beratapkan zink itu tidak mampu menjadi panahan haba, menjadikan tugas 4 mekanik yang sedang sibuk dan berpeluh di dalamnya semakin sukar.

Di luar, payung besar berjenama Hi Rev diletakkan bagi mengelak panahan cahaya matahari, dan pelanggan menunggu di bawahnya, berteduh sementara menunggu motosikal dikeluarkan dari bengkel.

Pelanggan terus melirik telefon sementara menanti kenderaan mereka yang banyak berjasa. Mungkin mereka membaca mesej, tetapi kelihatan mereka memeriksa berapa lama lagi waktu yang ada sebelum tiba jam 2 petang.

Kebanyakan mereka harus kembali ke atas jalan raya secepat mungkin atau mereka tidak akan memperoleh sebarang pendapatan hari ini.

Dalam keadaan bengkel yang sempit dan sesak, sukar untuk mengekalkan jarak sosial yang diperlukan, tetapi kebanyakan mereka cuba melaksanakannya.

Seorang mekanik memasang tayar motosikal.

Topeng menjadi gangguan, tetapi semua orang tahu mereka patut memakainya, sekurang-kurangnya ia dapat menghalang pemakai daripada menyentuh muka mereka.

Mekanik Osman mudah dikenal pasti: mereka memakai topeng dengan kesan cap jari berminyak di atasnya.

Bunyi bising pemampat udara bermakna topeng itu harus dibuka supaya mereka dapat membaca gerak bibir masing-masing. Apabila bunyi ngauman mesin itu berhenti seketika, terdengar bunyi muzik dimainkan dari sebuah radio kecil.

Bunyi besi berlaga dan bau minyak ketika mekanik menukar tayar dengan tangan dan menggantikan minyak enjin adalah suasana biasa di bengkel itu.

Walaupun ia kelihatan cukup sibuk dengan mereka menggerakkan motor lain ke dalam bengkel yang sesak, Osman berkata, suasana sebenarnya tenang.

Pada waktu biasa, beliau didatangi sekitar 60 pelanggan setiap hari. Namun ketika tempoh sekatan pergerakan, pelangganya hanya separuh daripada jumlah itu.

Osman menerangkan kesan PKP terhadap perniagaannya.

“Kebanyakan penduduk di Lembah Subang bekerja sepenuh masa jadi mereka hanya pulang ke rumah selepas jam 6 petang, jadi ini adalah waktu mereka membawa motosikal untuk dibaiki.

“Sebab itu kami biasanya terus buka bengkel sehingga jam 10 malam.”

Mohd Osman Abdul Wahab melihat motosikal pelanggan.

Namun, ketika ini waktu operasi mereka secara rasminya telah dipendekkan dari 12 jam sehari kepada hanya 5 jam, dari 9 pagi hingga 2 petang, dan tiada cara lain untuk mereka membantu penunggang yang terdesak selepas tempoh itu.

“Pelanggan kami ketika ini kebanyakannya adalah penghantar perkhidmatan makanan dan petugas penting barisan depan lain seperti polis dan askar. Saya menjangkakan perniagaan turun sebanyak 60%.

Kesannya terhadap perniagaan Osman tidak sukar untuk dihitung.

Namun, memotong gaji pekerjanya adalah perkara terakhir terlintas dalam fikiran Osman. Dia bertekad tenaga kerjanya akan terus dibayar seolah-olah keadaan adalah seperti biasa.

“Saya masih membayar gaji penuh mereka. Sebelum Covid-19 kami biasanya membuat keuntungan,” katanya. “Jadi sekarang adalah masa untuk saya menjaga kebajikan pekerja saya.”

Dia merenung topengnya. “Mereka ada keluarga dengan anak yang perlu diberi makan.”

Apabila kehidupan kembali normal selepas Covid-19 dihapuskan, Osman berkata, beliau tidak akan menaikkan harga bagi menampung kerugian yang dihadapi.

“Pelanggan saya kebanyakannya adalah penyewa PPR,” jelasnya sambil menunding jari ke arah blok berdekatan.

“Kebanyakan mereka berhempas pulas untuk memenuhi keperluan walaupun pada masa yang baik.”

Osman mengakui dia menyedari sukar untuk membayar pekerjanya gaji penuh pada waktu perniagaan hanya menghasilkan separuh daripada keuntungan biasa.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) layak untuk mendapatkan bantuan kerajaan, termasuk subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja untuk 3 bulan, dan pinjaman tanpa faedah.

Seorang mekanik memeriksa keadaan sebuah motosikal.

Bengkel Osman layak untuk mendapatkan bantuan itu, namun dia tidak berhasrat untuk memohon.

“Jika masalah semasa ini berpanjangan, maka amat sukar bagi kami untuk terus membayar upah penuh. Tetapi setakat ini kami baik-baik saja,” katanya.

“Jadi simpanlah bantuan itu untuk mereka yang sangat memerlukannya ketika ini.

“Apabila kami benar-benar perlukannya, maka kita akan memohonnya. Atau jika perlu, saya akan memohon pinjaman atau memotong gaji saya sendiri. ”

Tetapi dia bertekad untuk tidak memotong gaji pekerjanya.

Osman berkata dia dan pekerjanya memahami keperluan langkah PKP, termasuk waktu kerja yang dipendekkan.

“Kami tahu perkara yang paling penting sekarang adalah memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 sebelum ia mengorbankan lebih banyak nyawa. Jadi kita akan lakukan sedikit peranan untuk membantu merealisasikannya.”

Bunyi bising dentingan besi yang semakin kuat menandakan sudah tiba masa menutup perniagaan seperti yang dimandatkan.

Sebelum sekatan PKP, operasi bengkel itu berjalan penuh sehingga 8 jam, tetapi ia tidak berlaku ketika ini.

Sekarang sudah jam 2 petang.

Bagi mekanik di Kamarulzaman Motor Enterprise, hari kerja mereka sudah berakhir dan gril keselamatan mesti dikunci sehingga esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.