Penyanyi lagu Januari, Glenn Fredly, meninggal dunia di usia 44 tahun

Penyanyi lagu Januari, Glenn Fredly, meninggal dunia di usia 44 tahun

Glenn dilaporkan meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Jakarta, akibat meningitis.

Glenn meninggal dunia di usia 44 tahun kerana meningitis. (Gambar Instagram)

Penyanyi Indonesia yang popular dalam kalangan peminat muzik di Malaysia, Glenn Fredly, meninggal dunia hari ini, pada jam 6 petang waktu tempatan.

Mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada usianya yang ke-44 tahun.

Khabar duka itu dimaklumkan rakan rapat beliau yang juga penyanyi, Tompi.

Media Indonesia melaporkan Glenn meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Jakarta, akibat Meningitis atau dikenali juga sebagai dengan radang selaput otak.

Glenn berkahwin dengan bintang dangdut, Ayu Mutia tahun lalu dan baru menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka, Februari lalu.

Glenn cukup popular di Malaysia era 90-an dan awal 2000 menerusi lagu Januari, Adu Rayu, Sekali Ini Saja dan Akhir Cerita.

Penyanyi wanita popular Rossa juga antara rakan selebriti terawal yang berkongsi rasa dukacita itu menerusi akaun Instagramnya.

“Dengan (perasaan) amat sedih, sahabat lama, teman lama saya, Glenn Fredly, baru saja meninggal dunia. Jadi minta doanya,” ujarnya.

Glenn dilahirkan di Jakarta 30 September 1975, meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.