WHO gugur Afrika sebagai lokasi ujian vaksin Covid-19

WHO gugur Afrika sebagai lokasi ujian vaksin Covid-19

WHO berharap akan mengumumkan inisiatif bagi mempercepatkan penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran vaksin Covid-19.

Kira-kira 20 institusi dan syarikat berlumba untuk membangunkan vaksin Covid-19. (Gambar AFP)
GENEVA:
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin berkata, Afrika tidak akan menjadi lokasi tapak ujian vaksin Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Afrika tidak boleh dan tidak akan menjadi tempat ujian terhadap sebarang vaksin. Kami akan mengikuti semua peraturan untuk menguji sebarang pelalian atau terapeutik di seluruh dunia menggunakan peraturan yang betul-betul sama, baik di Eropah, Afrika atau mana jua,” katanya pada taklimat secara maya di Geneva.

Terkejut dengan kenyataan sesetengah ahli sains minggu lalu yang menyatakan tapak ujian untuk vaksin baru termasuk Afrika, Tedros berkata, “mentaliti daripada penjajahan perlu dihentikan”.

“Dua doktor Perancis dituduh mengamalkan sentimen perkauman selepas satu debat televisyen selepas seorang daripadanya mencadangkan ujian di Afrika untuk melihat sama ada vaksin batuk kering boleh membuktikan keberkesanan terhadap Covid-19,” menurut laporan media.

Sambil mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berbaur perkauman, ketua WHO itu mengulangi “perkara ini tidak akan berlaku di Afrika dan tidak akan berlaku mana-mana negara”.

“Protokol yang sempurna akan diikuti sepenuhnya dan manusia akan dilayan seperti manusia, secara saksama,” katanya.

Tedros mendedahkan, WHO berharap akan mengumumkan inisiatif bagi mempercepatkan penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran vaksin Covid-19 serta mekanisma pengedaran secara berkesan pelalian berkenaan pada minggu depan.

Menurut ketua WHO itu, lebih 70 negara menyertai Ujian Perpaduan WHO untuk mempercepatkan usaha mencari rawatan yang berkesan.

Sementara itu, kira-kira 20 institusi dan syarikat berlumba untuk membangunkan vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.