
Beliau yang juga menteri pertahanan berkata keputusan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua itu diputuskan menerusi mesyuarat hari ini.
“Kita tahu hari ini premis perniagaan pasar raya dan pasar beroperasi sehingga 10 malam, jadi ketika fasa kedua PKP, waktu operasinya berubah di mana semua premis perniagaan yang menjual keperluan harian termasuk pasar raya dan pasar dibenarkan beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.
“Ia termasuk operasi di restoran dan kedai makan juga beroperasi dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam, SOP ini juga termasuk operasi stesen minyak hadkan dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam,” katanya sambil memaklumkan peraturan itu juga melibatkan perkhidmatan penghantaran makanan.
Semua peraturan baru itu akan bermula 1 April ini di seluruh negara.
“Kerajaan menggalakkan orang ramai supaya membuat pembelian secara atas talian (online).
“Kita juga menggalakkan mereka yang menghantar makanan dan pembeli tidak bersemuka ketika mengambil makanan apabila pembelian dibuat menerusi atas talian, penghantar perlu meletakkan sahaja makanan di luar rumah, kita cuma nak elakkan adanya pertemuan bersemuka untuk pastikan wabak tidak merebak,” katanya.
Ismail turut memaklumkan, SOP di fasa kedua turut mengekalkan peraturan yang dilaksanakan ketika fasa pertama, termasuk larangan solat berjemaah di masjid dan aktiviti di tempat ibadat lain.
“Bukan sahaja masjid, aktiviti di pusat ibadat agama lain juga sama dan tidak dibenarkan,” katanya menerusi sidang media selepas mesyuarat harian menteri dan pihak terlibat dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra.